KUALA LUMPUR, 20 Jun 2025 – Skuad hoki lelaki Malaysia mempamerkan semangat juang yang tinggi apabila menewaskan Afrika Selatan 4-2 dalam aksi pusingan ‘cross over’ Kejohanan Hoki Piala Negara-Negara FIH 2025 yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, hari ini.
Kemenangan tersebut membolehkan skuad negara melangkah ke perlawanan klasifikasi tempat kelima dan keenam, yang bakal menemukan mereka dengan pasukan Wales esok. Aksi dramatik yang dipamerkan menyaksikan pelbagai detik mencemaskan dan menyentuh perasaan para penyokong setia The Speedy Tigers.
Skuad kendalian Sarjit Singh dipaksa bekerja keras sejak awal permainan apabila pasukan Afrika Selatan melancarkan serangan bertali arus ke arah kubu pertahanan negara. Bahagian pertahanan dilihat kurang bersedia mengawal asakan pantas yang dilakukan lawan.
Namun, persembahan cemerlang penjaga gol senior negara, Hafizuddin Othman, menjadi penyelamat awal buat skuad negara apabila beliau bertindak cemerlang menafikan tiga percubaan berbahaya dari pemain Afrika Selatan dalam suku pertama perlawanan. Ketangkasan Hafizuddin memastikan gawang Malaysia kekal tanpa bolos.
Selepas lebih 10 minit bergelut mencari rentak, barulah skuad negara dilihat mampu mengatur semula permainan dan melancarkan beberapa gerakan berbahaya. Dua peluang menerusi pukulan sudut penalti diperoleh Malaysia namun tidak berhasil dijadikan jaringan, memaksa Sarjit Singh melakukan pertukaran taktikal segera.
Sarjit kembali mempertaruhkan Syed Syafiq Syed Cholan sebagai flicker utama selepas dua cubaan variasi tidak membuahkan hasil. Keputusan itu terbukti tepat apabila Syed Syafiq meledak gol pembukaan buat Malaysia, yang juga merupakan gol ketiganya sepanjang kejohanan ini. Gol tersebut turut merubah rentak permainan, dengan Malaysia mula tampil lebih yakin dan menyerang dengan lebih bertenaga.
Namun, kealpaan seketika menjelang tamat separuh masa pertama membuka ruang buat Afrika Selatan menyamakan kedudukan. Ketika hanya berbaki 15 saat sebelum rehat, pemain Afrika Selatan, Angelo Walstroom memanfaatkan peluang dan menjaringkan gol penyamaan.
Memasuki separuh masa kedua, The Speedy Tigers tidak menunggu lama untuk kembali mendahului. Hasil gerakan menarik yang dimulakan oleh Azrai Aizad Abu Kamal, Shafiq Hassan bertindak pantas menyambut bola dan melakukan tindakan susulan bagi menjaringkan gol kedua Malaysia.
Momentum itu diteruskan apabila pemain lincah negara, Akhimullah Anuar Esook, menambah jaringan ketiga selepas menerima umpanan kemas daripada Norsyafiq Sumantri. Kedudukan berubah kepada 3-1 memihak kepada Malaysia, dan skuad negara dilihat semakin selesa mengawal permainan.
Namun begitu, aksi terus sengit apabila Afrika Selatan sekali lagi berjaya memperolehi pukulan sudut penalti hasil kesilapan pertahanan Malaysia. Carlton Mentoor tidak mensia-siakan peluang tersebut untuk merapatkan jurang jaringan kepada 3-2.
Hanya dua minit selepas itu, skuad negara kembali menjarakkan kedudukan apabila Fitri Saari menjaringkan gol keempat hasil satu gerakan kemas yang mematahkan tekanan pihak lawan. Gol tersebut memastikan Malaysia menutup aksi dengan kemenangan selesa 4-2 ke atas lawan dari benua Afrika itu.
Dengan kemenangan ini, The Speedy Tigers bakal menamatkan kempen kejohanan dengan aksi klasifikasi tempat kelima menentang Wales esok. Ia dilihat sebagai peluang terbaik untuk Malaysia mengakhiri kejohanan dengan nota positif dan meningkatkan kedudukan ranking dunia mereka.
Kemenangan ini juga membuktikan keupayaan barisan pemain negara untuk bangkit daripada tekanan serta kekurangan yang dialami sebelum ini. Ia turut memberi keyakinan kepada peminat bahawa pembangunan skuad hoki negara masih berada di landasan yang betul di bawah kendalian Sarjit Singh.
Walaupun tidak berjaya mara ke peringkat tertinggi kejohanan, pencapaian ini tetap memberikan nilai tersendiri buat barisan pemain muda yang mendapat pendedahan dan pengalaman berharga di pentas antarabangsa.