Mikail Ghazali

Petarung muda negara, Mikail Ghazali, terpaksa akur apabila tumpas kepada jaguh Jepun yang memegang tali pinggang Knock Out Black Super Flyweight, Ryu Hanaoka, dalam pertarungan sengit Rise World Series 2025 yang berlangsung di Yokohama sebentar tadi.

Namun, kemenangan Hanaoka yang berusia 21 tahun itu tidak diperoleh dengan mudah. Petarung muda Malaysia yang dikenali dengan julukan ‘MikiPapa’ memberi tentangan hebat sepanjang tiga pusingan, memaksa keputusan ditentukan oleh juri profesional.

Bagaimanapun, Hanaoka diumumkan sebagai pemenang menerusi keputusan juri selepas tamat tiga pusingan. Lihat sahajalah gambar Hanaoka apabila tangannya dijulang sebagai pemenang dengan reaksi kepenatan. Ia jelas menunjukkan betapa kuatnya tentangan yang diberikan oleh Mikail sepanjang perlawanan tersebut.

Di sebalik usianya yang baru 16 tahun, Mikail membuktikan bahawa dia bukan lawan mudah. Semangat juang tinggi serta teknik pertarungan yang ditampilkan memukau peminat di arena tersebut. Mikail terus memperkukuh reputasinya sebagai salah seorang petarung muda berbakat yang mampu bersaing di pentas antarabangsa.

Sebelum ini, Mikail telah menarik perhatian peminat sukan tempur apabila menumbangkan petarung dari Maghribi dalam Kejohanan Muay Thai Antarabangsa Wilayah Pahlawan 2025 yang berlangsung Februari lalu. Kemenangan itu menandakan kebolehannya untuk beraksi dalam kejohanan berprestij walaupun masih di usia remaja.

Pertemuan menentang Hanaoka merupakan ujian paling mencabar buat Mikail setakat ini. Dengan pengalaman dan kelebihan fizikal dimiliki oleh petarung Jepun itu, ramai menyangka Mikail bakal mudah ditewaskan. Namun, persembahan MikiPapa menangkis jangkaan itu apabila beliau berjaya bertahan dan memberikan saingan yang konsisten sepanjang perlawanan.

Kehadiran penyokong tempatan di Yokohama juga membakar semangat kedua-dua petarung. Pertarungan berlangsung dalam suasana penuh debaran dengan kedua-dua pihak saling berbalas serangan, mempertaruhkan segala kekuatan mental dan fizikal.

Bagi Mikail, kekalahan ini pastinya menjadi pengalaman berharga dalam perjalanan awal kariernya. Bakat dan potensi yang ditampilkan membuka ruang untuk terus mara lebih jauh dalam arena pertarungan profesional.