Bintang muda Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi terus mencuri perhatian apabila nilai pasarannya mengatasi dua pemain warisan baharu pasukan itu, Jon Irazabal dan Hector Hevel. Berdasarkan data dari laman Transfermarkt.com yang dikemas kini pada 14 Mei lalu, pemain berusia 23 tahun itu kini dinilai pada angka €650,000 atau sekitar RM3.2 juta.
Irazabal, pemain pertahanan berusia 29 tahun, sebelum ini memiliki nilai yang setara dengan Arif, namun kemaskini pada 9 Jun menyaksikan nilainya menurun kepada RM2.95 juta. Penurunan ini berlaku hanya sehari sebelum beliau melakukan penampilan sulung bersama skuad Harimau Malaya menentang Vietnam dalam kelayakan Piala Asia 2027.
Sementara itu, pemain tengah, Hector Hevel juga tidak terkecuali daripada mengalami susut nilai. Tanda harga terbarunya ialah RM1.97 juta, lebih rendah berbanding RM2.2 juta pada Disember tahun lalu.
Sebaliknya, nilai Arif Aiman terus meningkat – hampir RM250,000 berbanding kemaskini terakhir pada November lepas. Ini bukan sahaja menjadikannya pemain tempatan paling mahal dalam Liga Malaysia, malah meletakkan dirinya di tangga yang lebih tinggi berbanding ramai pemain import.
Keupayaan Arif mengekalkan prestasi cemerlang saban musim terbukti apabila beliau merangkul gelaran Pemain Paling Bernilai (MVP) buat kali keempat berturut-turut. Penglibatannya dalam kejohanan Liga Juara-Juara Elit (ACL) turut membantu meningkatkan reputasi serta nilainya di pasaran antarabangsa.
Dalam senarai nilai pasaran pemain kebangsaan, Arif menduduki tempat kelima, di belakang pemain warisan Imanol Machuca yang mengekalkan status sebagai pemain Harimau Malaya paling mahal dengan nilai RM12.3 juta. Pemain penyerang Joao Figueiredo dan pemain pertahanan Facundo Garces pula masing-masing dinilai pada RM9.84 juta.
Turut berada dalam senarai lima teratas ialah Dion Cools, yang kini menyarung jersi kelab Jepun, Cerezo Osaka dengan nilai RM4.9 juta, serta Rodrigo Holgado dari kelab America de Cali yang dinilai RM3.9 juta.
Kedudukan Arif sebagai pemain tempatan dengan nilai tertinggi membuktikan potensi besar pemain-pemain Malaysia untuk bersaing secara kompetitif dengan pemain luar negara. Beliau bukan sahaja menjadi tunjang utama JDT, malah menjadi ikon kepada pembangunan bakat tempatan.