Persoalan mengenai masa depan penyerang prolifik Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson da Silva, kini hangat diperkatakan selepas timbul laporan dari Brazil mengenai minat sebuah kelab terkemuka di negara itu. Sport Club do Recife dilaporkan berminat untuk membawa pulang pemain kelahiran Brazil itu ke liga utama negara berkenaan.
Berdasarkan laporan media Brazil, kelab yang pernah muncul juara Serie A Brazil pada tahun 1987 dan Copa do Brasil pada 2008 itu kini dikatakan sedang memantau rapat prestasi Bergson yang kini berusia 34 tahun.
“Bintang JDT, Bergson dikatakan sedang dipantau oleh Sport Club do Recife. Kelab dari Brazil itu berminat dengan penyerang berbisa berusia 34 tahun yang sudah menjaringkan 150 gol dalam 4 tahun menyarung jersi JDT.
“Sport Club do Recife ketika ini bersaing di liga utama Brazil, pernah sekali memenangi Serie A Brazil pada 1987 dan Copa do Brasil pada 2008,” demikian laporan daripada media Brazil.
Perkembangan ini turut mengundang pelbagai spekulasi selepas akaun media sosial rasmi JDT, Johor Southend Tigers (JST), memuat naik satu video Bergson bersama penyokong kelab itu, ‘Boys of Straits’. Dalam video tersebut, Bergson dilihat meluangkan masa meraikan kejayaannya selepas mencatatkan gol ke-100 bersama JDT.
“Bergson meluangkan masa bersama ‘Boys of Straits’ selepas melengkapkan gol ke-100nya dan menutupnya dengan gerakan kegemaran semua orang!,” tulis JST dalam hantaran tersebut.
Kandungan video itu menimbulkan pelbagai komen daripada penyokong setia JDT. Antara yang menarik perhatian adalah komen Mohammad Hazrul yang menulis, “Aih dah ‘start’ kenangan ini ‘confirm’ pindah ke”, manakala Noor Nizam pula berpendapat, “Kalau JDT ditawarkan yuran perpindahan yang tinggi aku rasa JDT akan jual Bergson ini. Sebab JDT kelab yang berniaga.”
Walaupun pelbagai andaian dan spekulasi terus bertebaran, setakat ini pihak pengurusan JDT masih belum memberikan sebarang kenyataan rasmi mengenai perkara tersebut. Para peminat setia Harimau Selatan terus menanti pengesahan sama ada penyerang yang menjadi tonggak utama skuad itu bakal meninggalkan kelab atau kekal beraksi di Stadium Sultan Ibrahim.
Sumbangan Bergson kepada JDT bukanlah kecil. Dengan rekod jaringan 150 gol dalam tempoh empat tahun, beliau dianggap sebagai antara pemain import paling berjaya dalam sejarah Liga Malaysia. Kelibatnya di atas padang sering menjadi mimpi ngeri buat pertahanan lawan dan aset penting buat jurulatih JDT.
Jika benar Bergson bakal dilepaskan, pastinya ia menjadi kehilangan besar buat JDT. Namun, sebagai sebuah kelab yang sentiasa mengutamakan kepentingan kelab dan pemain, apa jua keputusan kelak dipercayai akan dibuat dengan teliti dan profesional.
Para penyokong pastinya berharap agar Bergson kekal meneruskan aksi cemerlang bersama Harimau Selatan. Namun, jika takdir menentukan beliau kembali ke Brazil, penyokong akan terus mengenang jasa dan sumbangan luar biasanya kepada kelab.
Dalam masa terdekat, semua pihak menantikan sebarang kenyataan rasmi daripada pengurusan JDT untuk merungkai persoalan ini. Apa jua keputusan nanti, Bergson da Silva sudah pun meninggalkan legasi tersendiri dalam dunia bola sepak Malaysia.