Bambang Pamungkas, legenda bola sepak Indonesia dan bekas penyerang sensasi Selangor, baru-baru ini mendedahkan bahawa beliau pada asalnya bukanlah pemain utama yang diingini oleh Selangor. Sebaliknya, sasaran asal pasukan Merah Kuning itu ialah rakan sepasukannya di Persija Jakarta, Kurniayan Dwi Yulianto.
Perkara itu dikongsikan Bambang menerusi sebuah podcast yang kini tular di media sosial, sekaligus membuka semula kenangan manis peminat bola sepak tempatan terhadap kehadiran beliau di Liga Malaysia pada era 2005 hingga 2007.
“Ketika Selangor datang ke Indonesia, yang dicari bukan Bambang Pamungkas, Kurniayan Dwi Yulianto. Yang mahu dibawa ke sana (Malaysia). Mereka mahu penyerang terbaik di sini. Yang diketahui waktu itu Kurniawan,” kata Bambang.
Menurut beliau, jurulatih ketika itu, Haji Santoso, memainkan peranan penting dalam merencanakan langkah supaya beliau tidak dilepaskan begitu sahaja ke pasukan lawan. “Haji Santoso mengarahkan saya kerana dia tidak mahu kehilangan penyerang terbaiknya dan mereka (Selangor) setuju saranan Haji Santo,” jelas Bambang.
Bambang juga mengimbau bagaimana Selangor berhasrat membawa seorang lagi pemain asing bersama-samanya ke Malaysia. “Akhirnya sesuai buat saya. ‘Saya mahu mengambil seorang pemain asing bersama-sama kamu di Persija yang dari Afrika (Selatan)’,” katanya.
Bagaimanapun, situasi ketika itu agak mengelirukan kerana Persija tidak mempunyai pemain asing dari Afrika. Bambang menambah, “Saya bertanya siapa? kerana waktu itu tiada pemain asing di Persija dari Afrika. Mereka kata ‘pemain sayap’ Oh itu Indonesia (Elie Aiboy)!.”
Nama Elie Aiboy tidak asing lagi di kalangan penyokong Selangor kerana gandingan beliau bersama Bambang berjaya membawa beberapa trofi penting ke pangkuan pasukan. Sepanjang tempoh dua musim bersama Selangor, Bambang membantu pasukan menjulang kejuaraan Liga Super, Piala FA, Piala Malaysia dan Piala Sultan Selangor.
Pencapaian itu menjadi bukti kehebatan Bambang di padang meskipun pada mulanya bukan beliau yang dicari. Ternyata, langkah jurulatih Haji Santoso membuahkan hasil apabila Bambang bukan sahaja menjadi aset penting Selangor tetapi juga memahat namanya dalam lipatan sejarah bola sepak Malaysia.
Kisah ini membuktikan bagaimana satu keputusan taktikal mampu mencorakkan kerjaya seorang pemain. Tidak mustahil, tanpa kebijaksanaan jurulatih dan kepercayaan diberikan kepadanya, nama Bambang Pamungkas mungkin tidak akan dikenali oleh penyokong Merah Kuning sehingga hari ini.