SUKAN

Peranan Hamidin selepas sah dilantik

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kini mengumumkan pelantikan Tan Sri Hamidin Mohd Amin sebagai Presiden Kehormat badan induk bola sepak negara itu selepas Kongres Luar Biasa (EGM) yang diadakan baru-baru ini. Pelantikan bersejarah ini menzahirkan penghargaan mendalam terhadap sumbangan dan pengaruh besar beliau dalam dunia bola sepak, bukan sahaja di peringkat nasional tetapi turut diiktiraf oleh badan berprestij seperti Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) serta Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF).

Pengiktirafan ini bukan sekadar gelaran, sebaliknya memikul pelbagai tanggungjawab penting. Gelaran Presiden Kehormat FAM diberikan kepada individu yang terbukti berjasa dalam memperkasa bola sepak tanah air. Dalam hal ini, Hamidin diberi mandat untuk memainkan peranan strategik dan menyumbang kepakaran dalam membimbing hala tuju organisasi.

Antara fungsi utama beliau ialah memberi nasihat kepada Jawatankuasa Eksekutif, Jawatankuasa Tetap, Ahli Gabungan dan Sekretariat Agung FAM. Nasihat dan pandangan beliau akan menjadi input berharga berikutan pengalaman luas yang dimiliki. Langkah ini penting bagi menjamin kesinambungan dasar, penambahbaikan operasi dan pengukuhan tadbir urus keseluruhan FAM.

Presiden Kehormat FAM turut mempunyai keistimewaan untuk menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif dan Jawatankuasa Tetap apabila dijemput secara rasmi oleh pihak pengurusan. Kehadiran Hamidin adalah sebagai tokoh penasihat berpengalaman yang mampu mencetus idea baharu, nasihat praktikal serta cadangan strategik untuk meningkatkan keberkesanan pentadbiran. Walaupun beliau tidak mempunyai hak mengundi, pandangan beliau tetap diambil kira sebagai elemen penting dalam perbincangan dasar organisasi.

Dalam masa yang sama, peranan sebagai Duta Rasmi FAM turut disandarkan kepada Tan Sri Hamidin. Beliau bakal mewakili FAM ke pelbagai acara di dalam dan luar negara, termasuk seminar, persidangan, majlis pelancaran, pertemuan diplomatik serta program sukan peringkat antarabangsa. Peranan ini diharap dapat mengukuhkan reputasi FAM di pentas global, seterusnya membuka peluang kerjasama strategik dengan pelbagai entiti bola sepak antarabangsa.

Bagi memastikan organisasi terus bergerak selaras dengan kehendak semasa, Presiden Kehormat FAM juga boleh diberikan tugas tambahan oleh Jawatankuasa Eksekutif. Ini membolehkan pengalaman dan kepakaran Hamidin terus dimanfaatkan dalam pelbagai aspek yang diperlukan, sama ada membabitkan pembangunan, pentadbiran mahupun jaringan diplomasi sukan.

Pengiktirafan sebagai Presiden Kehormat ini sekali gus menjadi simbol kepada usaha gigih Tan Sri Hamidin dalam memartabatkan bola sepak negara. Beliau dilihat sebagai figura penting yang sentiasa berusaha memperkukuh struktur FAM, membina hubungan baik dengan badan induk bola sepak serantau dan global serta memastikan pembangunan bakat muda berjalan teratur.

Pihak berkepentingan dalam arena bola sepak negara kini menaruh harapan agar pelantikan ini mampu menjadi pemangkin kepada kemajuan lebih mantap, seterusnya melonjakkan Malaysia ke tahap lebih tinggi dalam peta bola sepak antarabangsa.