Selangor FC sah memperkenalkan Chrigor Moraes sebagai tenaga import kedua mereka bagi musim 2025/26, sekali gus memperkukuh bahagian serangan pasukan yang bercita-cita tinggi musim ini. Moraes, penyerang kelahiran Brazil berusia 25 tahun itu bukanlah nama asing di pentas Asia Tenggara selepas mencipta rekod cemerlang di Liga Thailand.
Musim lalu, Moraes tampil bersama Buriram United dengan jumlah keseluruhan 14 aksi dan tujuh gol. Namun prestasi yang lebih mencuri tumpuan adalah ketika dipinjamkan ke PT Prachuap, di mana beliau mempamerkan ketajaman luar biasa dengan mencetak 10 gol serta membantu dua gol lain hanya dalam 13 perlawanan Thai League 1.
Berita mengenai Moraes yang bakal menyertai The Red Giants sebenarnya sudah tersebar lebih awal menerusi laporan wartawan tempatan. Ketika ditemui, Moraes meluahkan rasa teruja untuk memulakan cabaran baharu di bumi Malaysia.
“Jujur saya amat teruja. Bermain di luar negara memang menuntut penyesuaian cepat tetapi saya datang dengan mentaliti positif. Saya mahu berusaha keras dan menyesuaikan diri secepat mungkin,” ujar Moraes.
Tambahnya lagi, pengalaman di Thailand menjadi bekalan berguna untuk fasa baharu ini. Moraes menekankan bagaimana beliau cuba menyesuaikan diri dengan budaya pasukan di Thailand sebelum ini melalui pendekatan proaktif.
“Di Thailand, saya belajar cepat. Sebelum ini saya banyak menonton perlawanan, meneliti taktikal pasukan dan mengikuti perkembangan kelab di media sosial. Saya juga berusaha memahami corak permainan yang diterapkan jurulatih,” katanya.
Moraes sedar banyak halangan perlu diatasi, terutama dari segi bahasa, namun tekadnya untuk menyumbang gol buat Selangor tidak pernah goyah.
“Bahasa memang cabaran tetapi saya sudah bersedia. Fokus saya adalah menjaringkan gol dan membantu pasukan mencapai misi,” jelasnya.
Pemain yang pernah berkelana di Serie B Brazil bersama Brasil de Pelotas dan Red Bull Brasil ini turut beraksi di pentas Serie A Brazil bersama Red Bull Bragantino dengan dua jaringan dalam sembilan aksi. Pengalaman di liga kompetitif Brazil memberi nilai tambah kepada profilnya di Asia.
Bagi Selangor, kehadiran Moraes dilihat sebagai langkah strategik bagi meningkatkan daya saing di pentas liga tempatan. Barisan kejurulatihan pasti menaruh harapan besar agar Moraes menjadi senjata ampuh untuk menggempur kubu lawan.
Penyokong The Red Giants pula pastinya teruja menanti gandingan Moraes dengan pemain tempatan sedia ada. Musim ini diharap mampu menyaksikan perubahan positif dalam usaha memburu kejayaan yang telah lama diidamkan.
Mampukah Moraes mengulangi sentuhan berbisa seperti di Thailand? Segala persoalan akan terjawab sebaik sepak mula musim baharu bermula.