Persoalan mengenai status salasilah pemain warisan Harimau Malaya tidak lagi wajar dipersoalkan memandangkan segala prosedur berkaitan sudah melalui tapisan badan bola sepak dunia. Menurut Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub, setiap pemain warisan yang disenaraikan sudah pun mendapat lampu hijau daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Dalam kenyataan terbarunya, Joehari menjelaskan bahawa isu sama ada susur galur pemain perlu didedahkan kepada umum atau tidak tidak lagi relevan kerana badan induk bola sepak dunia itu telah menjalankan semakan ketat sebelum memberikan kelulusan. Tegasnya, FAM hanya bertindak mengikut prosedur serta garis panduan yang ditetapkan.
“Semua pemain warisan Harimau Malaya telah lulus pemeriksaan FIFA. Badan tersebut sangat teliti dan tegas dalam setiap aspek melibatkan status pemain. Kami di FAM hanya patuh pada prosedur sedia ada dan tiada keperluan untuk memanjangkan isu salasilah ini.
“Kami tiada halangan jika perlu didedahkan tetapi apa yang penting, FIFA sudah menilai semuanya dengan mendalam. Jadi, isu ini sepatutnya tidak lagi menjadi perdebatan,” kata Joehari kepada media.
Kenyataan tersebut dibuat susulan timbul suara-suara mempertikaikan latar belakang beberapa pemain warisan baharu Harimau Malaya. Lima pemain berkenaan – Facundo Garces, Imanol Machuca, Jon Irazabal, Joao Figueiredo dan Rodrigo Holgado – telah membuat kemunculan pertama dalam perlawanan menentang Vietnam pada 10 Jun lalu di Stadium Nasional, Bukit Jalil.
Pertandingan tersebut adalah sebahagian daripada aksi kelayakan Piala Asia 2027 dan FAM menegaskan kelima-lima pemain tersebut sah beraksi kerana semua dokumen dan pengesahan telah disahkan FIFA.
Joehari turut menegaskan FAM tidak pernah berkompromi dari segi ketelusan dalam hal pemilihan pemain. Baginya, setiap pemain yang dipilih perlu mematuhi segala peraturan sah agar skuad Harimau Malaya tidak berdepan isu pada masa akan datang.
“Kami memang sentiasa telus dalam soal ini. Semua perkara berkaitan status pemain mesti mematuhi undang-undang dan peraturan antarabangsa. Ini penting untuk memastikan Harimau Malaya diwakili pemain yang sah dan layak.
“Sokongan penyokong juga penting supaya pemain dapat memberikan tumpuan sepenuhnya di atas padang tanpa dibayangi isu-isu luar,” tambah Joehari yang menyeru agar pihak tertentu tidak lagi membangkitkan isu sama.
Beliau yakin dengan semangat penyokong setia, Harimau Malaya dapat beraksi cemerlang dalam misi memburu tempat di Piala Asia 2027 dan kejayaan ini tidak seharusnya diganggu dengan persoalan yang sudah diperjelaskan.