SUKAN

Gara-gara dibelasah Malaysia, Vietnam gubal undang-undang

Keputusan penting ini termaktub untuk memberi impak yang besar kepada negara. Usaha ini bukan hanya tertumpu kepada bola sepak semata-mata, malah diharap dapat menarik minat ramai tenaga kerja profesional, pelabur, golongan saintis serta pakar-pakar untuk datang ke Vietnam.

Secara amnya, memiliki dua kewarganegaraan memang tidak dibenarkan di Vietnam. Namun, pihak berkuasa kini mengambil langkah proaktif dengan memperkenalkan satu bentuk pengecualian khas yang dilihat mampu memberi ruang baharu.

Bermula pada 1 Julai 2025, Perhimpunan Kebangsaan Vietnam bakal memuktamadkan mekanisme baharu yang membolehkan seseorang individu yang tidak menetap di negara itu masih boleh menjadi warganegara. Syaratnya, mereka mesti mempunyai hubungan kekeluargaan di Vietnam sama ada melalui pasangan hidup, anak-anak, ibu bapa atau datuk dan nenek.

Ini satu perkhabaran yang cukup menggembirakan buat para pemain bola sepak berstatus warisan yang mempunyai hasrat untuk menyarung jersi skuad kebangsaan Vietnam.

Perubahan besar ini amat bermakna memandangkan sebelum ini keperluan untuk mendapatkan kerakyatan Vietnam amatlah ketat. Ramai pemain warisan seperti Filip Nguyen dan Jason Pendant (Quang Vinh) perlu melalui proses panjang iaitu tinggal dan bermain di Vietnam terlebih dahulu.

Dengan pindaan undang-undang Kewarganegaraan Vietnam yang sudah pun diluluskan, individu asing yang mempunyai pasangan atau pertalian kekeluargaan dengan warga Vietnam boleh memohon tanpa perlu membuktikan syarat tinggal tetap, keupayaan bahasa atau keperluan kewangan.

Bukan itu sahaja, kelonggaran istimewa turut diberikan kepada warga asing yang diiktiraf atas sumbangan penting mereka atau manfaat jelas kepada kemajuan Vietnam.

Bagaimanapun, semua pemohon tetap tertakluk kepada undang-undang Vietnam. Mereka mesti mematuhi setiap peraturan dan menunjukkan rasa hormat terhadap budaya serta adat resam setempat.

Vietnam turut memperkenalkan pendekatan yang membolehkan beberapa pemohon menyimpan dua kewarganegaraan serentak jika mempunyai saudara-mara Vietnam. Namun, kelulusan rasmi daripada presiden perlu diperoleh terlebih dahulu.

Bagi warga asing yang tinggal di luar Vietnam, mereka boleh memanfaatkan kemudahan dengan menghantar permohonan melalui kedutaan atau pejabat konsulat Vietnam yang terdapat di negara masing-masing.

Keseluruhannya, dasar baharu ini membuka ruang besar bukan sahaja kepada pemain bola sepak warisan tetapi juga kepada tenaga pakar dan pelabur luar yang mahu bersama membangunkan Vietnam. Langkah ini diyakini mampu melonjakkan nama Vietnam di pentas antarabangsa, bukan sekadar dalam sukan malah dalam aspek kemajuan teknologi dan ekonomi.