SUKAN

Spekulasi Sri Pahang FC kembali hangat

Pengumuman mengejutkan bahawa Sri Pahang FC tidak akan lagi menyertai saingan Liga Super musim depan membuka lembaran baharu spekulasi di kalangan peminat bola sepak tanah air. Ramai yang berpendapat bahawa pasukan ikonik dari Pantai Timur itu wajar mempertimbangkan untuk beraksi dalam Liga A1, di bawah pentadbiran Liga Amatur Malaysia (AFL).

Desas-desus mengenai kemungkinan tersebut semakin hangat dibicarakan terutama di kalangan penyokong setia skuad Tok Gajah yang enggan melihat pasukan mereka hilang daripada radar persaingan bola sepak tempatan. Namun, realitinya setakat ini tiada sebarang langkah konkrit diambil oleh pihak pengurusan pasukan.

Ketua Pegawai Eksekutif AFL, Mohd Raimi Fakri Mohd Fuad, ketika diminta mengulas mengenai perkara ini menegaskan bahawa pihaknya masih belum menerima sebarang makluman rasmi daripada Sri Pahang berhubung kemasukan ke Liga A1 musim ini.

“Kalau ditanya pasal Pahang, setakat ini kita belum terima apa-apa secara rasmi, memang belum ada,” ujarnya ringkas. Menurut beliau, pintu untuk pasukan baharu sentiasa terbuka tetapi semua permohonan wajib disertakan dokumen bertulis dan melalui proses perbincangan yang sewajarnya.

Sebagai makluman, Sri Pahang FC disenaraikan bersama Perak FC dan Kedah Darul Aman FC antara pasukan yang tidak tersenarai dalam Liga Super bagi musim 2025 atas beberapa faktor dalaman. Ketiga-tiga pasukan ini pernah menjadi nama besar dalam liga utama negara namun kini terpaksa akur dengan keputusan badan induk liga.

Tambah Mohd Raimi, pihak AFL tidak menutup kemungkinan mana-mana pasukan termasuk Sri Pahang boleh menyertai Liga A1 asalkan permohonan rasmi dikemukakan. Syaratnya, segala dokumen lengkap perlu dibentangkan dan akan dinilai oleh lembaga pengarah AFL sebelum keputusan muktamad dibuat.

“Kalau ada permohonan baharu, biasalah, kami akan bawa ke mesyuarat lembaga pengarah. Di situ akan dibincangkan sama ada wujud ruang atau peluang untuk pasukan itu diterima,” katanya.

Walaupun pernah berlaku sebelum ini di mana AFL memberi peluang kepada pasukan-pasukan luar struktur liga untuk kembali bersaing, beliau mengingatkan bahawa situasi kini agak berbeza kerana jadual Liga A1 sudah pun dirancang dengan teliti. Segala perubahan drastik pada saat akhir boleh mendatangkan kesan besar.

“Kami dah umumkan 16 pasukan akan bertanding. Taklimat juga bakal dijalankan dalam masa terdekat. Kalau tiba-tiba ada tambahan pasukan, ia boleh kacau penyusunan jadual, kumpulan dan aspek teknikal yang lain,” ujarnya lagi.

Dalam suasana menjelang sepak mula liga yang hanya berbaki kurang sebulan, Raimi mengakui peluang untuk sebarang perubahan sangat tipis. Namun begitu, beliau tidak menolak sepenuhnya kemungkinan tersebut jika Sri Pahang benar-benar serius dan mengikut prosedur yang ditetapkan.

“Saya tak kata peluang tu tertutup. Tapi situasi sekarang ni memang agak rumit, banyak benda nak kena susun balik kalau tiba-tiba ada tambahan,” katanya lagi.

Dengan keadaan ini, terpulang kepada pengurusan Sri Pahang FC untuk menentukan hala tuju seterusnya. Penyokong pula berharap agar pihak terlibat dapat membuat keputusan segera demi memastikan legasi Tok Gajah tidak terhenti begitu sahaja.