Ketua jurulatih beregu wanita negara, Rosman Razak menegaskan usaha membina pasangan beregu wanita pelapis tetap diteruskan meskipun tumpuan kini lebih tertumpu kepada pasangan utama negara, Pearly Tan dan M Thinaah. Dalam kenyataannya, Rosman berkata tanggungjawab untuk melahirkan lebih ramai pasangan yang mampu menggalas cabaran di peringkat antarabangsa tidak pernah diabaikan meskipun Pearly-Thinaah kini menjadi sandaran utama skuad kebangsaan.
“Ketika ini, semua perhatian diberikan kepada Pearly dan Thinaah yang menduduki ranking nombor tiga dunia. Namun, kerja kami di barisan kejurulatihan tidak terhenti di situ sahaja. Kami tetap menjalankan ‘groundwork’ bagi menyediakan pasangan beregu nombor dua dan tiga yang mampu mengisi ruang sekiranya diperlukan. Kami harus sentiasa bersedia dengan pilihan pelapis,” katanya.
Dalam senarai semasa, gandingan Go Pei Kee dan Teoh Mei Xing berada di ranking ke-22 dunia menjadikan mereka pasangan kedua terbaik negara selepas Pearly-Thinaah. Bagaimanapun, Rosman tidak mahu menamakan secara rasmi siapa pasangan yang layak diiktiraf sebagai gandingan kedua, sebaliknya menekankan bahawa peluang terbuka kepada semua pemain.
“Saya tidak mahu fokus kepada individu kerana bagi saya, semua pemain berpeluang untuk muncul sebagai pasangan nombor dua atau tiga. Apa yang penting ialah persaingan sihat dalam kalangan mereka. Setakat ini, Ong Xin Yee dan Carmen Ting dilihat menonjol berbanding pemain junior lain,” katanya lagi.
Pasangan muda Ong Xin Yee dan Carmen Ting, kedua-duanya berusia 19 tahun, kini mencuri perhatian apabila berjaya melonjak ke ranking ke-41 dunia dalam tempoh yang singkat. Pencapaian ini dianggap sangat memberangsangkan memandangkan mereka masih di usia remaja.
“Perkembangan yang ditunjukkan Xin Yee dan Carmen sangat positif. Dari ranking yang jauh di belakang, mereka kini sudah berada dalam kelompok 45 terbaik dunia. Untuk pemain berusia 18 atau 19 tahun, itu satu pencapaian yang patut dibanggakan. Namun, perjalanan mereka masih panjang dan pelbagai cabaran menanti,” kata Rosman.
Selain itu, Rosman turut mengakui terdapat potensi besar dalam gandingan lebih muda, Dania Sofea Zaidi dan Low Zi Yu, yang mula menonjol di kejohanan peringkat lebih rendah. Dania yang berusia 18 tahun bersama rakan gandingannya, Zi Yu berusia 15 tahun, pernah meraih pingat perak dalam Kejohanan Remaja Dunia tahun lalu. Mereka juga baru-baru ini menjuarai Terbuka Slovakia dan mara ke separuh akhir di Terbuka Austria serta Slovenia.
“Saya lihat Dania dan Zi Yu mempunyai potensi yang besar. Namun, seperti pemain lain, mereka perlu diberikan masa dan peluang untuk mengutip pengalaman serta pendedahan di pentas lebih tinggi. Proses ini memerlukan kesabaran,” katanya lagi.
Tegas Rosman, segala usaha ini adalah bagi memastikan skuad beregu wanita negara sentiasa berada pada tahap terbaik dengan barisan pemain yang bersedia mengambil alih sekiranya diperlukan. Beliau optimis dengan komitmen dan latihan berterusan, skuad beregu wanita negara mampu mengekalkan rekod cemerlang di arena antarabangsa.