SUKAN

Jepun atau China jadi buruan

Menjelang dua kejohanan utama bulan ini, skuad beregu campuran negara bertekad untuk tidak pulang tangan kosong dengan memburu sekurang-kurangnya satu kejuaraan di Kejohanan Badminton Terbuka Jepun dan Terbuka China.

Keyakinan tersebut disuarakan oleh ketua jurulatih beregu campuran kebangsaan, Nova Widianto, yang percaya barisan pemain di bawah kendaliannya memiliki potensi besar untuk mencipta kejutan di pentas berprestij tersebut.

Nova menjelaskan bahawa keadaan persaingan dalam acara beregu campuran kini semakin terbuka, lebih-lebih lagi selepas pasangan gandingan handalan China, Zheng Siwei dan Huang Yaqiong mengambil keputusan untuk bersara.

“Kami sudah membuat persiapan rapi kira-kira sebulan sejak tamatnya Terbuka Indonesia. Meskipun prestasi pemain sedikit goyah selepas Malaysia Masters dan Terbuka Singapura, saya optimis kita mampu mencapai keputusan yang diharapkan di Jepun nanti,” ujar Nova sewaktu ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara.

Beliau turut mengakui bahawa kejayaan yang diraih beregu lelaki dan beregu wanita kebangsaan turut menjadi suntikan motivasi buat pasukan beregu campuran untuk memburu kemenangan.

Pasangan keempat terbaik dunia, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei kini menjadi sandaran utama selepas mereka kembali bergandingan setelah berpisah seketika berikutan isu kurang persefahaman.

Pada kejohanan Terbuka Singapura yang lalu, Nova melihat peningkatan dari sudut komunikasi antara Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei, sekali gus menunjukkan tanda positif ke arah persefahaman yang lebih baik.

“Walaupun komunikasi mereka bertambah baik, saya akui prestasi keseluruhan masih belum berada di tahap terbaik. Namun dengan baki dua minggu persiapan, kami akan pastikan mereka benar-benar bersedia,” tambah Nova.

Sebagai rekod, sebaik sahaja berganding semula, pasangan ini hampir mencipta kejayaan mara ke final di Terbuka Indonesia, namun hasrat tersebut terhenti di separuh akhir apabila mereka tewas di tangan pasangan Thailand, Dechapol Puavaranukroh dan Supissara Paewsampran.

Bagi Nova, tempoh persiapan yang masih berbaki akan dimanfaatkan sepenuhnya bagi memastikan skuad beregu campuran negara mampu menyaingi lawan-lawan hebat lain dalam usaha mengibarkan Jalur Gemilang di podium tertinggi.