SUKAN

MFL elak pindaan di saat-saat akhir

Liga Bolasepak Malaysia (MFL) terus memberi penekanan kepada usaha mengurangkan isu perubahan jadual perlawanan pada minit terakhir menjelang musim baharu Liga Malaysia (Liga M) 2025-2026 yang bakal membuka tirainya bulan depan. Penekanan ini diumumkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Mohd Shazli Shaik Mohd yang mahu semua pihak terlibat memahami kepentingan mengekalkan jadual sedia ada.

Menurut Mohd Shazli, pihak MFL merancang satu sesi taklimat khusus bersama semua CEO kelab bagi memperincikan perkara ini. Langkah tersebut diambil bagi memastikan semua kelab memahami cabaran penjadualan liga yang padat serta mengelak sebarang pindaan di saat-saat akhir.

“Kita sedar Liga Malaysia berjalan hampir 10 bulan setiap musim. Dalam tempoh itu, banyak faktor perlu diambil kira termasuk penglibatan kelab dalam kejohanan Kelab ASEAN, pertandingan AFC dan kalendar FIFA. Tidak ketinggalan cuti umum yang turut memberi kesan kepada jadual perlawanan,” jelas beliau.

Beliau turut menambah, pemahaman pihak kelab sangat penting supaya tidak berlaku sebarang kesulitan yang boleh menjejaskan perjalanan Liga Super khususnya. Peminat sebelum ini pernah meluahkan rasa tidak puas hati apabila berlaku terlalu banyak perubahan jadual secara tiba-tiba, sekali gus memberi kesan kepada kehadiran penyokong ke stadium.

Bagi menangani isu ini, MFL mengambil langkah meneliti setiap aspek penjadualan dengan lebih mendalam. Malah, Mohd Shazli menjelaskan bahawa jadual Liga M musim 2025-2026 kini berada di fasa akhir penyediaan. Bagaimanapun, penjadualan terpaksa ditangguhkan sementara kerana menanti keputusan undian kejohanan Kelab ASEAN yang akan berlangsung Jumaat ini.

“Kami difahamkan oleh AFF bahawa undian kejohanan Kelab ASEAN dijadualkan pada 4 Julai. Kami perlu menunggu hasil undian ini kerana dua wakil negara iaitu JDT dan Selangor perlu diberikan penjadualan terbaik supaya tidak berlaku pertindihan dengan perlawanan liga,” katanya.

Langkah berhati-hati ini penting bagi memastikan kelab-kelab terbabit dapat memberi sepenuh tumpuan sama ada di peringkat domestik mahupun antarabangsa. Dalam masa sama, usaha ini turut memberi ruang kepada peminat untuk membuat perancangan lebih awal sekali gus meningkatkan kehadiran ke stadium.

MFL juga komited untuk meningkatkan keberkesanan komunikasi maklumat kepada penyokong sekiranya berlaku sebarang perubahan tidak dapat dielakkan. Walaupun begitu, Mohd Shazli menegaskan fokus utama tetap kepada usaha mengurangkan perubahan jadual pada saat akhir.

Bagi musim baharu ini, pihak MFL berharap penyokong dapat menyaksikan perjalanan liga yang lebih lancar, teratur dan profesional. Dengan kerjasama erat antara MFL, kelab, pengurusan stadium dan pihak berkepentingan lain, cabaran penjadualan dapat ditangani dengan baik sekaligus mengembalikan keyakinan peminat terhadap kualiti Liga Malaysia.