Dalam dunia seni mempertahankan diri muay thai, nama Rifdean Masdor kini semakin meniti di bibir peminat sukan tempur negara. Baru-baru ini, Rifdean mendedahkan kisah di sebalik kejayaan luar biasa ketika menumbangkan petarung dari Israel dalam sebuah perlawanan yang berlangsung beberapa tahun lalu.
Melalui satu podcast yang kini menjadi perhatian ramai, Rifdean membuka rahsia bagaimana perlawanan itu mencatat sejarah tersendiri buatnya. “Mungkin saya cerita ini ramai orang akan hargai, saya pernah berdepan lawan dari Israel dan menang. Tetapi ramai tidak tahu perjuangan itu masa saya masih junior,” ujarnya mengimbau kenangan.
Pertarungan tersebut berlangsung pada tahun 2018. Rifdean, yang ketika itu masih bergelar peninju junior, tidak menyangka akan berdepan cabaran sehebat itu. Malah, beliau terpaksa menahan kesakitan apabila hidungnya patah pada pusingan pertama. “Pada masa itu 2018 tak silap saya, saya lawan dengan petarung dari Israel. Pusingan pertama hidung saya patah, saya kata habislah kerana dia ada rekod baik,” katanya.
Kecederaan itu tidak mematahkan semangatnya. Malah, kata-kata keras daripada jurulatihnya menjadi pembakar semangat untuk terus bertahan. “Jurulatih maki saya dari luar untuk bagi kita kesedaran, muka saya dah berdarah ketika itu, pengadil sumbat tisu. Tetapi sebab final pusingan kedua saya tukar taktikal,” Rifdean menambah.
Beliau menekankan betapa pentingnya taktikal dalam menentukan kemenangan di gelanggang. Menurutnya, tanpa perancangan dan strategi, seseorang petarung tidak layak bergelar profesional. “Taktikal penting dalam karier profesional, kerana tanpa taktikal tak perlu jadi petarung profesional lah,” katanya lagi.
Perubahan strategi membuahkan hasil. Dalam pusingan kedua, Rifdean mula mendominasi gelanggang. Serangan balasnya membuatkan lawannya hilang rentak. “Pusingan kedua saya pukul sampai dia lembik, hingga pusingan ketiga dia tak boleh buat apa dah,” jelasnya.
Kemenangan Rifdean ketika itu disaksikan ramai tetapi siaran langsung pertarungan tersebut terpaksa dihentikan kerana situasi di gelanggang semakin tegang. Lebih menarik, sebelum perlawanan bermula, beliau pernah didesak supaya menarik diri. “Sampai orang tutup aksi siaran langsung, sebelum saya lawan ada negara seperti Iran suruh saya tarik diri tetapi saya rasa inilah masa nak berlawan. Dan akhirnya saya menang,” katanya penuh yakin.
Perkongsian Rifdean bukan sahaja membangkitkan semangat generasi muda, tetapi juga membuktikan betapa gigihnya atlet tempatan mengharumkan nama negara di persada dunia.