Kelab bola sepak Kuala Lumpur (KL) City FC hari ini secara rasmi memaklumkan mengenai ketibaan pemain kebangsaan, Safawi Rasid, yang kini sah menyertai pasukan City Boys untuk persiapan musim 2025-2026. Pengumuman tersebut dibuat melalui saluran media sosial rasmi KL City, yang menggambarkan Safawi sebagai salah seorang permata berharga bola sepak negara.
Menurut kenyataan mereka, kehadiran Safawi dianggap satu nilai tambah yang cukup besar dalam usaha memperkuatkan skuad utama. Pihak pengurusan turut mengalu-alukan kehadiran pemain itu dengan ucapan penuh semangat.
“Salah satu bakat paling yang terbaik dalam bola sepak Malaysia kini secara rasmi menjadi sebahagian daripada keluarga kami! Selamat datang ke Ibu Kota, Safawi Rasid!,” tulis kenyataan KL City, yang pantas menerima pelbagai reaksi positif daripada para peminat yang tidak sabar untuk melihat aksi Safawi di gelanggang baharu.
Selain daripada perkembangan mengenai Safawi, kelab itu turut mengumumkan pelantikan Risto Vidakovic sebagai ketua jurulatih untuk musim depan. Risto, yang pernah membimbing Melaka United, kini diberikan tanggungjawab besar untuk membentuk pasukan yang lebih mantap dan bersedia menghadapi saingan Liga Malaysia yang kian sengit.
Dalam pada itu, Safawi menerusi akaun Instagram peribadinya mengambil kesempatan untuk merakamkan ucapan penghargaan buat Terengganu FC, kelab yang pernah menaungi bakatnya sebelum ini. Safawi berkongsi beberapa foto kenangan sewaktu bersama TFC disertakan dengan kata-kata perpisahan yang cukup menyentuh hati.
“Semua ini menggambarkan segalanya, banyak kenangan yang saya cipta. Pengalaman, penyokong yang hebat, rakan sepasukan yang luar biasa, barisan kejurulatihan yang prihatin dan pelbagai emosi yang tak dapat digambarkan,” katanya, sambil menzahirkan rasa syukur atas semua sokongan yang diterimanya selama ini.
Safawi turut menyatakan rasa penghargaan kepada semua pihak yang tidak pernah berhenti memberikan sokongan sama ada di dalam mahupun di luar padang.
“Terima kasih kepada semua yang sentiasa memberi sokongan, tidak kira di dalam atau luar padang. Namun inilah bola sepak, saya tiada ucapan lain selain yang terbaik buat semua. Semoga berjaya TFC untuk musim yang akan datang,” tulisnya lagi, menutup lembaran manis bersama Terengganu FC.
Berdasarkan rekod prestasi musim lalu, Safawi mencatatkan 35 penampilan dengan menjaringkan 18 gol serta melakukan lima bantuan gol. Statistik tersebut membuktikan peranan pentingnya dalam skuad TFC dan KL City dilihat bijak dalam mendapatkan khidmat pemain berkualiti untuk musim baharu.
Kepulangan Safawi ke Ibu Kota diharap dapat memacu kejayaan lebih besar buat KL City yang terus memperkukuh skuad dengan barisan pemain berpengalaman. Harapan tinggi kini disandarkan agar Safawi dapat memberikan impak segera, selain menjadi inspirasi kepada pemain muda lain dalam skuad.
Dengan kerjasama mantap antara pemain dan barisan kejurulatihan baharu, KL City optimis mampu memberikan saingan sengit kepada kelab-kelab gergasi dalam Liga Malaysia, sekali gus memburu kedudukan terbaik di pentas domestik.