SUKAN

TERKINI : Hantaran Afiq Fazail julang nama JDT dan Malaysia di ACLE

Pemain tengah Johor Darul Ta’zim (JDT), Afiq Fazail, terus mengharumkan nama kelab dan negara apabila hantarannya yang memukau sewaktu menentang Ulsan HD dalam Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) 2024/25 dinobatkan sebagai Bantuan Gol Terbaik.

Perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim itu menyaksikan JDT menewaskan Ulsan HD dengan keputusan 3-0. Sumbangan Afiq melalui gerakan kreatifnya menjadi antara faktor kemenangan bergaya skuad Harimau Selatan di pentas Asia.

Undian secara atas talian menerusi laman web rasmi Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) mendapati Afiq memperoleh sokongan majoriti dengan 32.73 peratus undian. Pencapaian ini membuktikan sentuhan Afiq mendapat pengiktirafan daripada penyokong di seluruh benua Asia.

Beberapa nama besar seperti Roberto Firmino, Riyad Mahrez, Joao Cancelo dan Akram Afif turut tersenarai dalam pencalonan. Namun, keupayaan Afiq membaca permainan dan menghasilkan hantaran yang tepat menjadikannya pilihan utama.

Afiq juga mencatat sejarah peribadi apabila menjadi satu daripada dua wakil Asia Tenggara yang berjaya menembusi senarai calon. Seorang lagi wakil rantau ini ialah Suphanat Mueanta dari Thailand yang beraksi bersama Buriram United.

Dalam perlawanan menentang Ulsan HD, Afiq tidak memerlukan masa lama untuk mencipta impak. Beliau diturunkan pada minit ke-88 sebagai pengganti Natxo Insa dan segera mempamerkan aksi cemerlang.

Hantaran lambungnya yang tepat melepasi benteng lawan menemui Bergson, yang bijak mengawal bola sebelum melakukan sepakan kencang menewaskan penjaga gol Jo Hyeon Woo. Gol tersebut melengkapkan kemenangan 3-0 untuk JDT.

Roger Ibanez yang beraksi bersama Ah-Ahli Saudi FC pula menduduki tangga kedua dalam undian Bantuan Gol Terbaik selepas hantaran lambungnya membantu Riyad Mahrez menjaringkan gol ketika menentang Al-Wasl. Ibanez meraih 26.71 peratus undian penyokong.

Mahrez sendiri menamatkan saingan di tangga ketiga dengan 20.78 peratus undian hasil bantuan golnya ketika perlawanan separuh akhir ACLE menentang Al-Hilal.

Pengiktirafan ke atas Afiq bukan sekadar penghormatan peribadi tetapi juga satu motivasi buat barisan pemain tempatan untuk terus berusaha mengangkat mutu bola sepak negara ke tahap lebih tinggi.

Para penyokong setia JDT tentunya gembira melihat pemain mereka diiktiraf di peringkat benua. Ini sekaligus membuktikan bahawa program pembangunan pemain yang diterapkan oleh JDT membuahkan hasil berkualiti.

Kejayaan Afiq diharapkan menjadi pembakar semangat buat generasi muda bola sepak Malaysia untuk mencontohi dedikasi, disiplin dan komitmen yang ditunjukkan beliau di atas padang.

Dalam saingan ACLE musim ini, pencapaian seperti ini perlu dijadikan pemangkin semangat untuk JDT meneruskan aksi konsisten dan memburu lebih banyak kejayaan di pentas antarabangsa.