SUKAN

Arif Aiman curi perhatian muat naik semula Instagram Story

Nama Arif Aiman Hanapi, 23, kembali menjadi sorotan selepas pemain sensasi bola sepak negara itu memuat naik semula satu hantaran di Instagram Story milik seorang wanita yang sebelum ini pernah dikaitkan dengannya.

Menerusi hantaran tersebut, wanita berkenaan dilihat menitipkan ucapan selamat jalan buat Arif Aiman yang kini terlibat dalam kem pramusim di Sepanyol bermula hari ini sehingga 22 Julai. Dalam jadual padat itu, pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu dijangka berentap menentang pasukan La Liga, Levante UD.

“Lambaian perpisahan, genggaman tetap kukuh. Selamat pergi dan balik, Insha-Allah,” tulis wanita tersebut yang mencuri perhatian ramai.

Menjawab ucapan itu, Arif Aiman membalas ringkas tetapi padat dengan makna. “Terima kasih, Insha-Allah, Amin,” katanya.

Tindakan tersebut sekali gus kembali mencetuskan spekulasi mengenai status hubungan mereka. Ramai peminat mula berteka-teki adakah hubungan tersebut hanya sekadar teman biasa atau sebenarnya lebih daripada itu.

Pasangan ini pernah mencuit hati ramai apabila muncul bersama dalam sesi siaran langsung mempromosikan tudung milik wanita tersebut. Gelagat mesra mereka pada waktu itu sempat mencuri perhatian warga maya dengan pelbagai reaksi yang ditinggalkan netizen.

Antara komen menarik perhatian ialah ucapan agar jodoh mereka kekal hingga ke akhir hayat. “Muka sama. Moga jodoh kekal sehingga ke akhir hayat,” demikian kata salah seorang pengguna.

Hasil semakan mendapati Arif Aiman turut menjadi salah seorang daripada 20,300 pengikut Instagram wanita berusia 20 tahun itu yang juga pemilik jenama tudung Rumah Bawal Signature.

Walaupun tiada pengesahan rasmi daripada mana-mana pihak, interaksi mesra di media sosial membuatkan ramai tertanya-tanya akan perkembangan terbaru hubungan mereka. Penyokong Harimau Malaya dan peminat JDT kini menanti sama ada khabar angin itu bakal menjadi kenyataan.

Dalam pada itu, tumpuan tetap terarah kepada aksi Arif Aiman di padang bola sepak, namun kisah peribadinya tetap menarik perhatian peminat setia.