Gareth Bale, nama besar bola sepak Wales, kini bergerak selangkah lagi dalam impiannya memiliki kelab bola sepak sendiri. Terkini, beliau mengetuai satu konsortium yang mengemukakan tawaran bernilai RM230 juta bagi membeli Cardiff City, kelab yang cukup sinonim dengan dirinya. Bale yang sebelum ini pernah terlibat dengan cubaan mengambil alih Plymouth Argyle, kali ini dilihat lebih bersungguh untuk menjadikan Cardiff City sebagai miliknya.
Vincent Tan, yang kini merupakan pemilik kelab, telah menyatakan keterbukaan untuk menjual pegangan miliknya kepada Bale bersama rakan pelabur dari Amerika Syarikat. Sumber The Times melaporkan, bidaan rasmi sudah pun dihantar dan proses rundingan dijangka berlanjutan dalam masa terdekat meskipun terdapat spekulasi tawaran tersebut bakal ditolak.
Sepanjang kariernya, Bale menempah nama di pentas Eropah dengan lima gelaran Liga Juara-Juara ketika bersama Real Madrid selain 111 penampilan bersama pasukan kebangsaan Wales. Kini selepas menggantung but, beliau mahu melakar sejarah baharu sebagai pemilik kelab bola sepak profesional.
Dalam satu kenyataan, Bale menzahirkan betapa dekatnya Cardiff City di hatinya. Malah, beliau menjelaskan bahawa bapa saudaranya, Chris Pike, pernah beraksi untuk kelab berkenaan. Bale turut berkongsi harapan agar dapat membawa Cardiff City kembali ke saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) yang dianggap sebagai tempat yang layak buat kelab tersebut.
“Kami amat berharap dapat memiliki Cardiff. Ini kelab kampung saya, di sinilah saya dibesarkan. Ia amat bermakna buat saya dan keluarga. Menjadi sebahagian daripada pemilik pasukan ini adalah sesuatu yang saya impikan sejak dahulu,” kata Bale.
Tambah beliau, sokongan penyokong setia Cardiff dan rakyat Wales akan menjadi pemangkin untuk kelab itu bangkit semula. Usaha perbincangan masih berjalan dan Bale optimis akan muncul berita positif tidak lama lagi.
Walaupun pernah gagal pada cubaan terdahulu, bidaan terbaharu ini menjadi bukti komitmen Bale untuk melabur demi bola sepak Wales. Penyokong Cardiff City juga menyambut baik usaha ini, malah berharap ia mampu membuka lembaran baharu buat kelab kesayangan mereka.
Kini, segala perhatian tertumpu pada hasil rundingan antara konsortium Bale dan pemilik sedia ada. Mampukah impian bekas bintang Real Madrid ini menjadi kenyataan? Semua pihak pastinya menantikan perkembangan seterusnya.