SUKAN

Luqman bantu kita, kita bantu dia

Skuad Negeri Sembilan FC (NSFC) kini menjadi pentas penting buat Luqman Hakim Shamsudin untuk memulihkan kariernya yang pernah melalui fasa getir.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif NSFC, Faliq Firdaus Muhammad Rom, pasukan Jang adalah medan terbaik untuk Luqman membuktikan segala keraguan terhadapnya tidak berasas sama sekali.

Faliq berkata, pihaknya yakin penyerang muda itu mampu kembali menemui sentuhan penyudah tajam yang diharapkan, seiring dengan visi kelab untuk terus memartabatkan bakat pemain tempatan.

“Kenapa Negeri Sembilan menjadi pilihan tepat? Jawapannya kerana kami tidak boleh lagi berada di tangga tercorot. Ini menuntut semua pemain, termasuk Luqman, untuk bermain sepenuh hati.

“Dia perlu buktikan pada semua bahawa dia masih relevan dan kritikan yang dilemparkan padanya hanyalah sekadar suara sumbang.

“Kami akan memberikan kebebasan kepada Luqman untuk menonjolkan aksi terbaiknya. Saya dan barisan kejurulatihan sentiasa di belakangnya, namun dia tetap perlu berjuang mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama.

“Tiada ruang untuk lalai kerana semua pemain harus membuktikan diri mereka layak,” katanya.

Selepas lima tahun mengembara ke luar negara, Luqman akhirnya membuat keputusan pulang ke Malaysia dengan menyarung jersi Hoben Jang Hoben. Pemain berusia 23 tahun ini sebelum ini menempa nama di Akademi Mokhtar Dahari sebelum berkelana ke Belgium bersama KV Kortrijk.

Bagaimanapun, saingan sengit di Eropah membataskan peluangnya dan Luqman dipinjamkan ke Njardvik di Iceland serta Yokohama SSC di Jepun bagi mencari minit permainan yang lebih konsisten.

Faliq memaklumkan bahawa perbincangan terperinci bersama Luqman telah diadakan bagi memastikan misi kebangkitan penyerang muda negara ini dapat direalisasikan.

“Kami duduk berbincang panjang. Dia tahu apa yang kami harapkan darinya. Kami letakkan sepenuh kepercayaan kepadanya untuk menguatkan jentera serangan kami.

“Kalau dia berjaya membantu NSFC, NSFC juga akan membantu dia. Kami saling memerlukan.

“Kehadirannya bersama pemain lain akan menambah kekuatan skuad ini. Kami optimis dia mampu memberi impak besar,” katanya.