SUKAN

Malaysia kejutkan Tuan Rumah di Penghujung permainan

Malaysia terus membuktikan kemampuan mereka dalam kempen Kelayakan Piala Asia Wanita 2026 dengan kejayaan terbaharu menundukkan Tajikistan dalam aksi kedua yang berlangsung awal pagi tadi. Kemenangan tersebut menjadi bukti skuad Malayan Tigress berjaya mengekalkan rentak cemerlang selepas kemenangan ke atas Palestin pada perlawanan pertama kumpulan H tempoh hari.

Skuad bimbingan ketua jurulatih Joel Cornelli nyata tidak mempersia-siakan peluang apabila turun dengan objektif yang jelas untuk mendapatkan tiga mata penuh. Beberapa pemain utama seperti Steffi Sarge, Ainsyah Murad dan Azurin Mazlan terus diberi kepercayaan mengemudi kesebelasan utama. Ternyata percaturan tersebut membuahkan hasil kerana gandingan mereka jelas menghadirkan keserasian di atas padang.

Aksi yang berlangsung di Stadium Central, Dushanbe, menyaksikan pasukan tuan rumah, Tajikistan, tampil dengan misi menebus maruah selepas dimalukan Korea Utara dengan jaringan besar 0-10 pada perlawanan pembukaan. Sokongan padu penyokong tuan rumah tidak cukup untuk memecahkan benteng pertahanan Malaysia yang tetap utuh dan berdisiplin.

Pada babak pertama, kedua-dua pasukan beraksi dengan berhati-hati sambil cuba mencipta beberapa peluang. Beberapa serangan berbahaya tercipta tetapi masih gagal diterjemahkan kepada gol. Apabila wisel separuh masa pertama ditiupkan, kedudukan kekal tanpa jaringan.

Memasuki separuh masa kedua, tempo permainan semakin pantas apabila skuad negara mula meningkatkan intensiti serangan. Beberapa pertukaran pemain dilakukan oleh jurulatih Joel Cornelli bagi menambah variasi serangan. Usaha yang tidak pernah luntur itu akhirnya berhasil apabila pada minit-minit akhir perlawanan, Intan Sarah berjaya melakukan gerakan cantik dengan hantaran lintang ke dalam kotak penalti.

Henrietta Justine yang baru dimasukkan memanfaatkan hantaran tersebut dengan tandukan padu, menewaskan penjaga gol Tajikistan sekaligus menghadiahkan gol kemenangan buat Malaysia. Keputusan 1-0 memihak kepada Malaysia cukup penting dalam membuka peluang lebih luas untuk layak ke pusingan akhir Piala Asia Wanita 2026.

Namun begitu, perjuangan belum selesai. Perlawanan terakhir kumpulan H bakal menjadi penentu apabila skuad negara perlu berdepan cabaran getir menentang Korea Utara, pasukan yang kini berada di tangga kesembilan ranking dunia. Untuk menempah tiket ke Piala Asia Wanita 2026, kemenangan mutlak diperlukan.

Tugasan tersebut sememangnya sukar tetapi semangat juang tinggi yang dipamerkan para pemain setakat ini menjadi pembakar semangat kepada seluruh penyokong. Kerjasama erat antara pemain, barisan kejurulatihan serta sokongan padu peminat diyakini mampu menjadi kunci kejayaan.

Dengan corak permainan yang semakin matang dan taktikal berkesan, skuad Malayan Tigress kini hanya perlu mengekalkan momentum. Fokus serta disiplin setiap pemain akan menjadi penentu sama ada impian ke Piala Asia Wanita 2026 mampu direalisasikan.