SUKAN

Manchester United buat kesilapan paling memalukan

Manchester United kembali menjadi sasaran kritikan selepas tindakan mereka menjual Scott McTominay ke Napoli disifatkan sebagai langkah silap yang merugikan. Pemain tengah berusia 28 tahun itu kini menjadi tonggak utama Napoli selepas berhijrah musim panas lalu dengan nilai perpindahan sekitar 27.5 juta pound (RM158 juta).

McTominay, yang dibesarkan di akademi United, dilepaskan demi membantu kelab mematuhi peraturan kewangan. Yuran perpindahannya dikira sebagai keuntungan bersih memandangkan statusnya sebagai pemain keluaran akademi, namun keputusan itu nyata tidak disenangi ramai.

Bekas jurulatih United, Benni McCarthy, menzahirkan rasa kesal terhadap keputusan tersebut. Bagi McCarthy, McTominay adalah antara pemain tempatan yang menjadi contoh semangat juang dan profesionalisme yang sukar dicari ganti di Old Trafford.

“Ramai yang tahu mengapa pemain seperti Scotty dijual. Hasilnya boleh digunakan untuk pembelian baharu. Namun, hakikatnya melepaskan dia adalah antara kesilapan paling besar dalam sejarah bola sepak United,” tegas McCarthy.

Bagi McCarthy, McTominay tidak perlu dinilai hanya dari segi teknikal semata-mata kerana kelebihannya terletak pada semangat dan kepimpinannya di bilik persalinan.

“Dia bukan pemain dengan skil terbaik tetapi dia ada jiwa kental yang membantu pasukan. Kini mereka cuba mencari semangat itu semula melalui Matheus Cunha, tetapi sukar untuk dapatkan apa yang Scotty miliki,” tambahnya.

McCarthy turut mendedahkan bahawa beliau pernah cuba membawa penyerang Liverpool, Cody Gakpo, ke Old Trafford. Bagaimanapun, usaha itu gagal kerana halangan daripada bahagian pencarian bakat kelab.

“Gakpo pemain yang paling sesuai. Kami hampir berjaya mendapatkannya. Rundingan berjalan lancar kerana ejen Gakpo kenal Erik. Malangnya, urusan itu tidak menjadi kenyataan,” jelas McCarthy.

Di Napoli, McTominay cepat menyesuaikan diri dan segera menjadi kegemaran peminat. Dalam musim pertamanya, dia berjaya membantu kelab mengekalkan kejuaraan Serie A, menjadikan nilai perpindahan yang dibayar berbaloi untuk Napoli.

Keputusan United melepaskan McTominay kini dianggap langkah yang gagal dan menimbulkan rasa kecewa di kalangan penyokong yang merindui pemain tempatan dengan semangat tinggi. Bagi ramai pemerhati, tindakan menjual pemain berjiwa United ini tidak sepadan dengan sumbangan yang pernah diberikan di kelab.

Isu penjualan McTominay membuka ruang perbahasan panjang tentang bagaimana United perlu merancang masa depan pemain akademi mereka. Ramai berharap kejadian sama tidak berulang memandangkan pemain tempatan sering membawa nilai identiti dan kesetiaan kepada pasukan.

Para penyokong juga melihat kegagalan mendapatkan Gakpo sebagai kelemahan yang harus diperbaiki segera. Ramai berpendapat United wajar lebih agresif dalam pembelian pemain berkualiti agar tidak tercicir di belakang pesaing utama.

Sementara itu, McTominay terus fokus bersama Napoli, membuktikan kualitinya di pentas Eropah. Beliau kini menjadi simbol kebangkitan Napoli dan pencapaian cemerlangnya di Itali seolah-olah menjentik rasa penyesalan buat pihak pengurusan United.