Hasrat besar penyerang baharu Selangor FC, Willian Lira, jelas terpancar apabila beliau berjanji untuk membawa pulang piala kejuaraan ke pangkuan Red Giants sebaik sahaja diumumkan menyertai pasukan itu. Pemain yang sebelum ini pernah bersama Kedah Darul Aman FC yakin betul dengan kemampuan Selangor FC untuk merangkul gelaran pada musim 2025/2026.
Lira menegaskan sasaran utamanya adalah membantu pasukan bersaing di tahap tertinggi sambil memastikan namanya terus sinonim dengan jaringan gol. “Saya mahu bantu Selangor bersaing untuk kejuaraan dan menjaringkan gol sebanyak yang saya mampu,” katanya bersungguh-sungguh.
Beliau menambah, “Saya sudah lakukan di kelab lain, kali ini saya mahu sumbangkan sepenuh tenaga untuk Selangor pula. Saya bertekad untuk memberi sumbangan terbaik setiap hari, sama ada di atas padang mahupun di luar.”
Penyerang yang berusia 32 tahun itu kini secara rasmi disenaraikan sebagai pemain import keempat skuad Merah Kuning, bersedia menggalas cabaran Liga Malaysia dan kejohanan antarabangsa termasuk Liga Juara-Juara Asia II (ACL II) dan Kejuaraan Kelab Asean.
Karier profesional Lira bermula di Brazil dengan mewakili pelbagai kelab dalam Campeonato Brasileiro Série B dan Série C, antaranya Icasa, Ferroviário, Portuguesa, serta São Bernardo FC.
Perjalanan bola sepaknya terus melangkah ke Asia apabila Lira beraksi di Jepun bersama Ventforet Kofu. Dalam tempoh dua musim (2021–2022), beliau mencatatkan 18 gol hasil daripada 70 perlawanan dalam Liga J2, menunjukkan keupayaannya bersaing di liga yang mencabar.
Paling diingati, Lira membantu Ventforet Kofu menjuarai Piala Emperor 2022, menjadikannya salah satu pemain tonggak dalam kejayaan bersejarah itu.
Tidak terhenti di Jepun, penyerang prolifik ini meneruskan karier ke Asia Tenggara dengan menyarung jersi Kedah Darul Aman FC pada awal 2023, sebelum melebarkan langkah ke Thailand bersama Chonburi FC untuk musim 2023/24.
Di Thailand, Lira sekali lagi membuktikan ketajaman sentuhannya dengan 15 gol dalam 30 perlawanan Liga 1 Thai. Musim 2024/25 pula, Lira berkelana ke Emiriah Arab Bersatu bersama Hatta Club, di mana beliau terus cemerlang dengan 13 gol serta lima bantuan dalam 23 perlawanan liga.
Dengan segala rekod dan pengalaman luas yang dimiliki, penyokong Selangor FC pastinya berharap Willian Lira dapat menjadi inspirasi dan penggerak utama dalam misi Red Giants untuk membawa pulang piala kejuaraan musim depan.