Isu tekanan mental atlet sekali lagi mendapat perhatian apabila bekas pemain badminton beregu campuran negara, Goh Liu Ying tampil bersuara mengenai kepentingan menangani tekanan dalam kalangan atlet, terutama pada era media sosial yang membenarkan kecaman berlaku secara terbuka. Kenyataan Liu Ying hadir susulan hantaran terbaharu di Instagram oleh pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia yang menimbulkan pelbagai tanda tanya.
Menurut Liu Ying, setiap atlet perlu mempunyai kekuatan untuk mengakui tekanan yang dihadapi serta tidak segan untuk mencari jalan penyelesaian terbaik. Baginya, langkah awal untuk menangani isu ini adalah dengan berterus terang tentang keadaan diri. Ini termasuk mendapatkan khidmat profesional seperti pakar psikologi sekiranya perlu. Jelas Liu Ying, tiada apa yang perlu dimalukan kerana kesihatan mental sama pentingnya dengan tahap kecergasan fizikal.
“Sebenarnya, semua atlet pasti pernah rasa tekanan, sama ada sedikit atau banyak. Tapi kalau dah sampai tak mampu nak kawal, wajib dapatkan sokongan profesional. Saya pun pernah alami sebelum Olimpik dulu. Memang kami jumpa pakar psikologi untuk dapatkan panduan dan kekuatan mental. Apa yang penting, berani akui kita perlukan pertolongan,” ujar Liu Ying ketika ditemui media di Bukit Kiara.
Tambah beliau lagi, ramai tidak sedar bahawa proses pemulihan kecederaan adalah antara tempoh yang paling mencabar buat mental seorang atlet. Kecederaan sering menjejaskan bukan sahaja fizikal malah emosi atlet, apatah lagi apabila terpaksa berhadapan dengan tekanan daripada penaja dan peminat. Atlet juga sering berasa tertekan untuk kembali beraksi demi membuktikan kemampuan mereka masih utuh.
“Kecederaan beri tekanan besar. Penaja nak publisiti, atlet pula terdesak mahu kembali tunjukkan keupayaan. Realitinya, atlet perlukan masa untuk pulih betul-betul. Harapan orang ramai pula tinggi. Ini yang kadang-kadang jadi beban pada mental,” jelas Liu Ying lagi.
Justeru, Liu Ying menyeru peminat badminton tanah air supaya memahami situasi yang dihadapi oleh Zii Jia. Beliau berharap peminat dapat memberikan ruang dan masa secukupnya supaya pemain perseorangan tersebut dapat kembali beraksi dengan penuh keyakinan. Menurutnya, sokongan moral daripada peminat sangat penting dalam proses pemulihan mental seorang atlet.
“Saya cuma harap peminat semua beri dia masa untuk bangkit semula. Kita tak tahu apa yang dia lalui, jadi sokongan anda semua sangat bermakna untuk dia kembali ke gelanggang dengan semangat baru,” katanya mengakhiri perbualan selepas meneliti sendiri hantaran Instagram Zii Jia.