SUKAN

Sukar halang Provokasi mereka — Peguam

Provokasi baharu muncul apabila segelintir penyokong negara jiran disyaki sengaja menabur fitnah kononnya skuad Harimau Malaya digantung daripada kejohanan antarabangsa oleh FIFA sehingga 2027. Dakwaan tidak berasas ini turut mendakwa Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dikenakan hukuman denda AS$2 juta (RM844 juta), semua keputusan lepas dibatalkan dan pengambilan pemain warisan diharamkan untuk lima tahun.

Fitnah ini dipercayai disebarkan melalui media sosial dengan berselindung di sebalik teknologi kecerdasan buatan (AI) serta penggunaan akaun palsu. Tujuannya adalah bagi mengelirukan masyarakat dan mengelakkan diri daripada dikesan pihak berkuasa mahupun netizen tempatan.

Rentetan isu tersebut, wartawan mendapatkan penjelasan peguam sukan Syed Nur Aiman. Beliau mencadangkan agar FAM membuat laporan rasmi kepada penyedia platform sosial yang terlibat supaya tindakan sewajarnya dapat diambil.

“Jika ia disebarkan di TikTok, FAM boleh membuat laporan terus kepada TikTok untuk siasatan lanjut. Langkah ini penting bagi mengekang penyebaran berita palsu,” katanya.

Namun, Syed Nur Aiman mengakui terdapat kekangan dari sudut undang-undang sekiranya penyebar fitnah bukan individu yang berada di bawah pengawasan FIFA atau AFC.

“Kalau individu terbabit bukan pemain, jurulatih atau pegawai berdaftar, FAM tidak mempunyai kuasa undang-undang untuk bertindak. Apatah lagi jika pelaku berada di luar negara dan hanya peminat biasa, usaha membawa kes ini ke mahkamah antarabangsa pasti sukar,” katanya lagi.

Untuk rekod, Harimau Malaya kini mendapat suntikan pemain warisan baharu seperti Joao Figueiredo, Imanol Machuca, Jon Irazabal, Rodrigo Holgado, Facundo Garces serta Gabriel Palmero. Keenam-enam pemain ini disahkan FIFA dan diturunkan pada perlawanan Kelayakan Piala Asia 2027 Kumpulan H menentang Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil, bulan lalu.

Pemain seperti Machuca, Holgado dan Garces memiliki darah Malaysia-Argentina, Figueiredo berdarah Malaysia-Brazil manakala Irazabal serta Palmero pula Malaysia-Sepanyol. Kehadiran mereka nyata membantu apabila Malaysia berjaya menewaskan Vietnam 4-0 pada 10 Jun lepas, menamatkan penantian 11 tahun tanpa kemenangan ke atas pasukan itu.

Harimau Malaya kini mendahului kumpulan dengan enam mata hasil dua kemenangan, termasuk kemenangan ke atas Nepal 2-0 pada aksi pertama. Pada perlawanan tersebut, pemain warisan Malaysia-Belanda, Hector Hevel, mencuri tumpuan dengan menjaringkan gol pertama dan memimpin bahagian tengah pasukan.