Pasangan beregu lelaki negara, Wan Arif Wan Junaidi dan Yap Roy King, kini melalui saat mencabar apabila berdepan kekeliruan dalam menyesuaikan diri dengan pendekatan permainan yang dibawa oleh ketua jurulatih kebangsaan, Herry Iman Pierngadi. Hal ini diakui sendiri oleh Pengarah Kejurulatihan Beregu Negara, Rexy Mainaky yang mendedahkan situasi tersebut telah menjejaskan rentak permainan pasangan tersebut.
Rexy menyatakan bahawa Wan Arif dan Roy King kelihatan terlalu berusaha untuk menyesuaikan permainan mereka dengan falsafah baharu yang diterapkan Herry. Akibatnya, mereka keliru dan seperti kehilangan identiti permainan asal mereka. Katanya lagi, beliau sudah berbincang bersama pasangan itu terutamanya Wan Arif bagi merungkai masalah tersebut.
Walaupun dilanda kekeliruan, terdapat perkembangan positif yang ditunjukkan pasangan ini pada kejohanan Terbuka Indonesia apabila mereka hampir mengejutkan rakan sepasukan, Man Wei Chong dan Tee Kai Wun. Aksi tersebut memperlihatkan mereka mampu memberi saingan apabila berjaya memaksa permainan hingga ke set penentuan. Rexy berharap peningkatan itu mampu diteruskan pada kejohanan seterusnya.
Bagaimanapun, Wan Arif-Roy King tetap gagal meneruskan momentum selepas hanya mampu memenangi set pertama 21-14 sebelum tewas 11-21, 15-21 pada set berikutnya, menyaksikan mereka tersingkir di pusingan kedua Terbuka Indonesia 2025 yang berlangsung bulan lalu.
Sejak Herry mula menggalas tugas bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada Februari lalu, pasangan yang berada di ranking ke-24 dunia ini hanya mampu mara ke separuh akhir sekali sahaja di Masters Orleans di Perancis pada Mac lepas, daripada lapan kejohanan yang disertai setakat ini.
Berbanding Wan Arif-Roy King, dua lagi pasangan beregu negara iaitu Aaron Chia-Soh Wooi Yik serta Man Wei Chong-Tee Kai Wun, dilihat lebih serasi dengan bimbingan Herry. Aaron-Wooi Yik cemerlang dengan tiga gelaran setakat musim ini termasuk Kejohanan Badminton Asia di Ningbo, China, diikuti kejayaan di Terbuka Thailand serta Terbuka Singapura. Tidak ketinggalan, Wei Chong-Kai Wun turut membanggakan apabila merangkul kejuaraan Masters Indonesia dan Masters Malaysia.
Dalam perkembangan lain, Rexy juga menyentuh mengenai keadaan Muhammad Haikal Nazri yang dilihat masih belum kembali ke prestasi asal. Menurut Rexy, Haikal kurang agresif di gelanggang dan kelihatan kurang yakin selepas pulih daripada kecederaan otot paha yang dialaminya pada Disember lalu.
Kecederaan tersebut menyebabkan Haikal bersama pasangannya, Choong Hon Jian, terpaksa menarik diri daripada beberapa kejohanan penting termasuk Terbuka Malaysia 2025 pada Januari lepas. Rentetan itu, ranking mereka kini jatuh ke tangga ke-47 dunia.
Walaupun sudah kembali beraksi sejak Mei lepas, gandingan Hon Jian-Haikal masih gagal mencatat keputusan memberangsangkan apabila tersingkir pada pusingan awal dalam semua lima kejohanan yang disertai tahun ini. Walau bagaimanapun, Rexy tetap yakin kedua-dua pemain itu mampu bangkit dengan memanfaatkan masa rehat yang ada sebelum kembali ke gelanggang di Terbuka Jepun 2025 yang dijadual berlangsung pada 15 hingga 20 Julai ini.