Impian skuad bola sepak wanita Malaysia untuk beraksi di Piala Asia Wanita 2026 musnah apabila terpaksa akur dengan kekalahan 0-6 di tangan Korea Utara dalam perlawanan terakhir Kumpulan H. Pertembungan di Stadium Pamir, Dushanbe malam tadi menyaksikan kehebatan Korea Utara yang membuktikan status mereka sebagai pasukan bertaraf dunia.
Dalam perlawanan tersebut, Kim Kyong-yong muncul wira buat Korea Utara selepas mencetak tiga gol untuk melengkapkan hatrik peribadinya. Rakan sepasukan, Kim Hye-yong, Myong Yu-jong dan Ri Hye-gyong pula masing-masing berjaya menambah satu gol lagi, sekaligus mengukuhkan kemenangan pasukan mereka.
Meskipun dikecewakan dengan keputusan tersebut, pasukan wanita negara wajar berbangga kerana berjaya menduduki tangga kedua dalam Kumpulan H. Pasukan yang diuruskan Joel Cornelli itu pulang dengan enam mata hasil kemenangan ke atas Palestin dan Tajikistan, masing-masing dengan jaringan 1-0.
Keputusan ini sedikit sebanyak menjadi bukti bahawa skuad Malayan Tigress memiliki potensi untuk terus berkembang. Dalam dua perlawanan awal, barisan pemain menunjukkan disiplin tinggi di atas padang dengan mempamerkan aksi bertahan yang kemas serta serangan yang efektif, meskipun berdepan kekangan berdepan pasukan lebih handal.
Kekalahan kepada Korea Utara membuka ruang buat pasukan untuk memperbaiki kelemahan dan menilai strategi di masa hadapan. Berdepan pasukan tangga kesembilan dunia bukanlah tugas mudah, dan pengalaman ini bakal menjadi bekal berharga untuk kempen seterusnya.
Dalam konteks pembangunan bola sepak wanita negara, usaha dan semangat para pemain seharusnya mendapat pengiktirafan. Keupayaan untuk bersaing dalam saingan kelayakan ini juga membuktikan Malaysia tidak jauh ketinggalan berbanding beberapa pasukan Asia lain. Dengan sokongan berterusan daripada pihak pengurusan dan peminat, diharapkan skuad ini mampu meraih kejayaan lebih besar pada masa depan.
Joel Cornelli pula dilihat berjaya membina satu pasukan yang bukan sahaja bergantung kepada satu atau dua pemain utama, tetapi tampil dengan semangat berpasukan yang tinggi. Inilah nilai yang wajar diteruskan dalam skuad wanita negara untuk menghadapi saingan yang lebih mencabar pada masa akan datang.