SUKAN

Pemain Indonsia malukan presiden PSSI

Kekecewaan melanda peminat bola sepak wanita Indonesia apabila skuad Garuda Pertiwi gagal mara ke pentas Piala Asia 2026. Kekalahan dua perlawanan di peringkat kumpulan nyata mengejutkan penyokong setia, apatah lagi pasukan kebangsaan beraksi di laman sendiri selaku tuan rumah.

Pasukan yang berada di tangga ke-95 dunia itu terpaksa akur apabila tewas kepada Pakistan yang menduduki kedudukan ke-157 dunia. Kekalahan tersebut cukup memalukan kerana skuad Indonesia hadir dengan gabungan pemain tempatan dan pemain warisan yang berpengalaman seperti Emily Nahon, Isa Warps serta Felicia de Zeeuw.

Walaupun barisan pemain telah dipersiapkan sebaik mungkin, keputusan di padang tidak memihak kepada mereka. Chinese Taipei yang tampil konsisten pula berjaya muncul juara Kumpulan D, sekali gus menutup terus peluang Indonesia ke Piala Asia. Skuad kendalian Satoru Mochizuki hanya mampu mencatat kemenangan tunggal ke atas Kyrgyzstan, tetapi tidak mampu menambah gol secukupnya bagi menyaingi kelebihan 11 gol yang diperlukan.

Kegagalan ini membuka mata ramai pihak mengenai keperluan pembaharuan dalam bola sepak wanita Indonesia. Usai penyingkiran, kelihatan para pemain mengangkat sepanduk menuntut pembaharuan daripada Persatuan Bolasepak Seluruh Indonesia (PSSI). Isu ini turut menarik perhatian apabila tumpuan diberikan kepada Presiden PSSI, Erick Thohir.

“Erick, bilakah Liga 1 Wanita akan kembali?” – satu persoalan yang bergema di bibir peminat. Liga 1 Putri pernah dianjurkan pada 2019, namun selepas itu tiada lagi pertandingan rasmi dianjurkan sehingga kini. Kekosongan itu jelas memberi kesan besar kepada pembangunan bakat dan pendedahan pemain wanita di peringkat tempatan.

Peminat beranggapan, tanpa liga yang stabil, mustahil untuk skuad Garuda Pertiwi bersaing dengan pasukan lain di rantau ini. Penekanan untuk mengukuhkan ekosistem bola sepak wanita perlu dijadikan agenda penting, sama seperti tumpuan yang diberikan kepada pasukan lelaki Indonesia yang kini semakin berkembang pesat.

Desakan demi desakan supaya PSSI memulihkan Liga 1 Putri kini semakin kuat. Skuad Garuda Pertiwi memerlukan perlawanan kompetitif sepanjang tahun untuk memperbaiki mutu permainan. Tanpa platform tersebut, bakat baharu sukar diketengahkan, dan pemain sedia ada pula kehilangan pentas untuk kekal aktif dan relevan.

Ramai pemerhati bola sepak percaya langkah mengembalikan Liga 1 Wanita bukan sahaja dapat menambah baik prestasi pasukan kebangsaan, malah mampu menarik minat penaja serta membuka peluang kerjaya buat pemain wanita. Masa depan bola sepak wanita di Indonesia kini bergantung kepada tindakan PSSI dalam masa terdekat.