Kisah mengenai masa depan beregu wanita Malaysia, Pearly Tan dan M Thinaah akhirnya menemui noktah apabila mereka difahamkan bakal menandatangani kontrak baharu bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM). Kontrak itu akan menjanjikan ganjaran lumayan dianggarkan sekitar RM1 juta setahun bagi setiap pemain, memberi jaminan bahawa pasangan ini akan terus beraksi mewakili negara sehingga Sukan Olimpik Los Angeles 2028.
Mengikut maklumat yang diperoleh, pakej ganjaran tersebut merupakan hasil persetujuan Ahli Majlis BAM dalam mesyuarat terdahulu meskipun sebelum ini wujud desas-desus mengatakan Pearly-Thinaah mahukan bayaran lebih tinggi. Rundingan kedua-dua pihak dikatakan berpanjangan namun akhirnya menemui titik persetujuan.
Bagaimanapun, difahamkan pihak BAM bersedia menimbangkan penambahbaikan bayaran berkenaan dengan syarat beregu negara itu berjaya memenuhi KPI yang telah ditetapkan. Mereka bakal memulakan cabaran di Terbuka Jepun dari 15 hingga 20 Julai, diteruskan dengan Terbuka China pada 22 hingga 27 Julai dan seterusnya Kejohanan Dunia di Paris pada penghujung Ogos.
Sebelum ini, timbul pelbagai tanda tanya memandangkan Pearly-Thinaah belum menandatangani sebarang kontrak baharu walaupun kontrak terdahulu berakhir Disember lalu. Keadaan ini menimbulkan spekulasi sama ada pasangan ini akan terus kekal atau bergerak secara profesional. Namun kini, persoalan tersebut terjawab selepas mereka mencapai kesepakatan dengan BAM.
Difahamkan, proses menandatangani kontrak akan dilaksanakan hujung minggu ini sebelum beregu berkenaan terbang ke Jepun bagi menyertai kejohanan pertama musim ini. Usaha pihak BAM yang diketuai Presiden Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ternyata membuahkan hasil apabila isu kontrak diselesaikan mengikut jadual.
Dalam empat kejohanan terakhir, Pearly-Thinaah mempamerkan rentak cemerlang dengan menjuarai Terbuka Thailand, muncul naib juara di Terbuka Indonesia, mara ke separuh akhir Masters Malaysia dan menjejak kaki ke suku akhir Terbuka Singapura. Prestasi ini pastinya menjadi sandaran buat BAM untuk melihat mereka meraih pencapaian lebih tinggi di kejohanan mendatang.
Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh, ketika ditemui wartawan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), enggan mengulas lanjut berkenaan perkara tersebut. Beliau hanya meminta semua pihak bersabar menunggu kenyataan rasmi yang bakal dikeluarkan badan induk badminton negara itu.
“Tunggulah pengumuman rasmi nanti. Seperti yang Presiden (Tengku Zafrul) nyatakan sebelum ini, rundingan berjalan dengan baik dan positif. Beberapa hari sahaja lagi sebelum mereka berangkat ke Jepun. Dari pihak kami, sudah tentu kita inginkan keputusan yang terbaik untuk semua,” ujar Kenny Goh ringkas.
Langkah memperbaharui kontrak ini turut dilihat sebagai usaha BAM untuk memastikan kesinambungan program latihan beregu wanita negara berjalan lancar dan memastikan Malaysia terus berdaya saing di pentas dunia. Penyokong badminton tanah air pastinya berharap Pearly-Thinaah mampu mencatatkan keputusan membanggakan dalam kejohanan-kejohanan penting tahun ini.