Penyerang warisan skuad Harimau Malaya, Rodrigo Holgado, kini menjadi tumpuan selepas tidak kelihatan dalam senarai pemain America de Cali bagi aksi persahabatan Siri Colombia menentang Deportivo Pereira awal pagi semalam.
Holgado, yang menjadi antara sandaran utama pasukan, tidak diturunkan sama sekali oleh jurulatih baharu, Diego Raimondi, malah nama beliau juga tidak tersenarai di bangku simpanan. Perlawanan itu menyaksikan America de Cali terpaksa akur dengan kekalahan 1-2.
Ketiadaan Holgado menimbulkan tanda tanya besar dalam kalangan penyokong. Ada yang beranggapan khidmatnya sudah tidak diperlukan pengendali baharu. Namun begitu, laporan media tempatan menjelaskan situasi sebenar yang melibatkan kecederaan yang dialami penyerang berusia 30 tahun itu.
Wartawan Colombia, Nany Florez, menerusi ciapan di platform sosial X memaklumkan Holgado sebenarnya mengalami masalah kecederaan hamstring. Atas faktor keselamatan dan persediaan menghadapi aksi liga menentang Llaneros FC pada 12 Julai ini, barisan kejurulatihan enggan mengambil risiko menurunkannya lebih awal.
“Rodrigo Holgado tidak dapat bersama pasukan kerana hamstring. Insya-Allah esok (hari ini) dia boleh kembali turun padang untuk menjalani latihan,” ujar Florez ringkas.
Sejak beberapa minggu lalu, timbul laporan Holgado akan berhijrah ke Millonarios FC, antara kelab terkenal di Colombia. Pasukan tersebut dilaporkan serius mahu memperkuatkan jentera serangan mereka dengan menandatangani pemain Harimau Malaya itu pada jendela perpindahan kali ini.
Selain Millonarios FC, Holgado juga dikaitkan dengan kemungkinan pulang ke Argentina. Gimnasia La Plata, kelab di kampung halamannya, dilaporkan berminat untuk membuka pintu rundingan dan sanggup menebus kontrak Holgado yang kini bersama America de Cali.
Kontrak Holgado dijangka tamat tahun depan. Namun begitu, beliau sendiri pernah menegaskan pendiriannya untuk menghormati kontrak sedia ada dan tidak akan berpindah dalam masa terdekat. Musim ini, Holgado sudah meledak tujuh gol, membuktikan dirinya masih relevan untuk beraksi bersama pasukan gergasi Colombia itu.
Keputusan Holgado itu disambut baik oleh peminat bola sepak tanah air yang mahu melihat anak buah Harimau Malaya terus beraksi di liga kompetitif luar negara. Kehadiran Holgado di luar negara memberi nilai tambah kepada skuad kebangsaan dengan pendedahan yang lebih mencabar.
Dengan baki musim yang masih panjang, penyokong pastinya mahu melihat Holgado pulih sepenuhnya dan kembali membantu pasukan. Harapan besar diletakkan agar penyerang ini mampu mengelak daripada sebarang kecederaan serius, seterusnya menamatkan musim dengan prestasi yang membanggakan.