SUKAN

Bekas Olimpian beri alasan Pearly-Thinaah Layak RM 1 Juta

 Nama Woon Khe Wei tidak asing lagi dalam dunia badminton negara. Bekas Olimpian ini tampil mempertahankan gandingan beregu wanita nombor satu Malaysia, Pearly Tan dan M. Thinaah, dengan menyatakan bahawa nilai imbuhan RM1 juta setahun adalah bertepatan dengan prestasi cemerlang yang mereka tonjolkan.

Beliau menjelaskan, berdasarkan rekod pencapaian, Pearly-Thinaah sememangnya layak menerima jumlah tersebut memandangkan mereka kini dianggap sebagai pasangan beregu wanita terbaik dalam sejarah badminton Malaysia.

Malah, Khe Wei menegaskan lagi bahawa sekiranya Pearly dan Thinaah berjaya mara lebih jauh dalam kejohanan bertaraf dunia seperti Terbuka Jepun, Terbuka China serta Kejohanan Dunia, mereka akan memperoleh ganjaran tambahan. Keadaan ini jelas memberi keuntungan kepada semua pihak, termasuk BAM dan pihak penaja.

Dalam perkembangan sama, Khe Wei ketika diminta mengulas dakwaan bahawa BAM terlalu memanjakan pasangan beregu ini, menyangkal pandangan tersebut. Katanya, gandingan tersebut berhak membuat sebarang permintaan kerana prestasi mereka berada di tahap yang membanggakan.

“Kalau dilihat cara mereka bermain, memang layak mereka diberikan sokongan penuh. Dari aspek pertahanan mahupun serangan, kedua-duanya seimbang. Itulah yang menjadikan mereka beregu wanita terbaik pernah Malaysia hasilkan,” katanya lagi.

Tambahnya, BAM sememangnya menjadi tempat latihan paling ideal untuk Pearly-Thinaah bagi memastikan mereka terus berada pada tahap tertinggi. Dengan adanya kemudahan latihan terbaik serta jaminan tajaan, beliau optimis pasangan ini mampu mengekalkan prestasi cemerlang.

“Dulu masa saya bermain, corak permainan lebih bertumpu kepada pertahanan. Tapi Pearly dan Thinaah agresif, mereka tahu bila perlu menyerang, bila perlu bertahan. Itu membuatkan mereka berbeza,” ujar Khe Wei lagi dengan penuh yakin.

Bagi beliau, gaya permainan yang dinamik dan penuh semangat inilah yang meyakinkan rakyat Malaysia bahawa Pearly-Thinaah mampu menjadi sandaran utama negara dalam misi memburu pingat di Sukan Olimpik Los Angeles 2028.

Ketika ini, pasangan ini berada di ranking ketiga dunia, satu kedudukan yang jauh mendahului beregu wanita negara lain. Jurang tersebut menjadikan Pearly-Thinaah sebagai harapan utama untuk menghadiahkan kilauan pingat emas pertama badminton wanita negara.

Dengan sokongan tidak berbelah bahagi daripada BAM dan peminat badminton tanah air, Khe Wei percaya bahawa Pearly dan Thinaah mampu merealisasikan impian untuk berada di takhta beregu wanita nombor satu dunia, sekaligus mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa.