SUKAN

Komen pasukan Liga malaysia selepas MFL buat U-Turn

Liga Bolasepak Malaysia (MFL) baru-baru ini telah membuat ketetapan penting apabila memutuskan untuk mengurangkan bilangan pemain import di padang daripada tujuh kepada enam pemain sahaja bagi musim 2025/26. Keputusan hasil Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah ke-14 itu dilihat membuka peluang baharu kepada pemain tempatan yang dahagakan aksi dalam kesebelasan utama.

Pengurangan kuota ini disambut baik oleh pelbagai pasukan Liga Super yang berpendapat langkah tersebut dapat meningkatkan persaingan serta memperkukuh pembangunan bakat tempatan. Antara yang menyokong kuat keputusan ini ialah Ketua Pegawai Eksekutif Negeri Sembilan FC, Faliq Firdaus yang melihatnya sebagai strategi tepat untuk memastikan keseimbangan antara pemain tempatan dan import.

Beliau menegaskan bahawa pengurangan slot import tidak boleh dijadikan alasan untuk pemain tempatan hanya sekadar hadir melengkapkan angka. Sebaliknya, mereka perlu menggunakan ruang tersebut untuk mempamerkan mutu permainan setanding atau lebih baik daripada pemain import.

“Peluang yang diberikan tidak datang selalu. Pemain tempatan perlu bijak memanfaatkan apa yang ada. Kami tidak mahu mereka berada di posisi utama hanya kerana kuota, tetapi kerana kemampuan mereka sendiri. Inilah peluang untuk mereka menonjolkan bakat sebenar,” ujar Faliq.

Selain itu, beliau percaya usaha MFL ini juga mengambil kira trend di negara jiran yang turut meneliti semula dasar pemain import demi memastikan liga tempatan kekal berdaya saing dalam kalangan liga Asia. Dengan peningkatan minit permainan, pemain tempatan dijangka memperoleh lebih banyak pengalaman berharga.

Di Terengganu FC pula, pengurus pasukan Shahrizan Mohd Zain menyatakan bahawa perubahan ini seiring dengan agenda kelab yang memang menekankan pembangunan pemain tempatan, terutama pemain muda yang mahu menyerlah di pentas profesional.

“Pengurangan pemain import ini memberi bonus kepada pemain tempatan untuk cuba merebut tempat. Kami sudah menyediakan pelan rapi supaya keseimbangan antara pemain tempatan dan import terjaga. Fokus kami adalah untuk menghasilkan skuad yang seimbang,” kata Shahrizan.

Mengikut Manual Liga Malaysia yang baru, bilangan pemain asing di padang ditetapkan 6+3 dengan pembahagian 4 Terbuka, 1 Asia dan 1 ASEAN. Sebelum ini, jumlahnya ialah 7+2 dengan pecahan 4 Terbuka, 1 Asia dan 2 ASEAN.

TFC setakat ini telah memperkenalkan empat pemain import baharu iaitu Junior Ngong Sam dari Cameroon, Yan Mabella dari Perancis, Gabriel Costa serta Raianderson da Costa Morais dari Brazil, di samping mengekalkan Nurillo Tukhtasinov dari Uzbekistan.

“Dengan enam import ini, kami masih menepati kuota. Seorang lagi akan ditambah tidak lama lagi. Perancangan ini membolehkan pemain tempatan bersaing dengan lebih sihat dan bersemangat,” katanya.

Langkah MFL ini dijangka dapat memacu Liga Super ke satu tahap yang lebih kompetitif dengan menyaksikan pemain tempatan mempamerkan aksi bermutu tinggi serta memanfaatkan peluang beraksi di atas padang secara optimum.