SUKAN

TERKINI : Ranking Malaysia melonjak tinggi

Impian skuad Harimau Malaya untuk menempatkan diri dalam senarai 120 pasukan bola sepak terbaik dunia semakin hampir menjadi kenyataan selepas pasukan negara berjaya mencatat lonjakan enam anak tangga, sekali gus kini berada pada kedudukan ke-125 dunia dalam senarai ranking FIFA.

Pencapaian tersebut merupakan rekod terbaik Harimau Malaya sejak 19 tahun lalu apabila kali terakhir menduduki ranking ke-125 adalah pada Februari 2006.

Perkongsian berkenaan dibuat Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) melalui satu kenyataan di platform media sosial rasminya hari ini, memberikan khabar gembira buat para penyokong bola sepak Malaysia.

Kemenangan besar dengan keputusan 4-0 menewaskan Vietnam pada aksi Kelayakan Piala Asia 2027 yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada bulan lalu diyakini menjadi pemangkin kepada peningkatan ranking tersebut.

Berdasarkan perkiraan semasa, pasukan kendalian jurulatih Peter Cklamovski berjaya mengutip tambahan 14.91 mata yang membolehkan skuad kebangsaan kini mengumpul keseluruhan 1138.48 mata FIFA.

Dengan jumlah mata berkenaan, Harimau Malaya mempunyai motivasi yang lebih besar untuk menghadapi kempen Piala Negara-Negara Persatuan Bolasepak Asia Tengah (CAFA) 2025 yang akan membuka tirainya pada penghujung bulan depan.

Malaysia juga mencatat rekod sebagai pasukan yang membuat lonjakan kedudukan tertinggi di benua Asia, bersaing dengan Hong Kong yang turut melonjak enam anak tangga ke kedudukan ke-147 dunia.

Selain itu, Indonesia yang merupakan pesaing tradisi Malaysia di rantau Asia Tenggara turut menunjukkan peningkatan apabila naik lima anak tangga untuk menduduki ranking ke-118 dunia.

Berbeza dengan Malaysia dan Indonesia, Thailand menyaksikan penurunan kedudukan apabila jatuh tiga anak tangga ke ranking ke-102 dunia, manakala Vietnam pula merosot empat anak tangga ke kedudukan ke-113 dunia.

Dengan peningkatan prestasi semasa, peminat bola sepak negara berharap skuad Harimau Malaya akan terus mengekalkan rentak cemerlang ini seterusnya berjaya menempatkan diri dalam kelompok 120 terbaik dunia sebagaimana yang diidamkan.