Kekuatan Johor Darul Ta’zim (JDT) sentiasa menjadi penanda aras kepada tahap kemampuan bola sepak tempatan, malah turut mempengaruhi tahap skuad kebangsaan Harimau Malaya. Dengan pengumuman terbaharu mengenai kemasukan beberapa pemain berdarah kacukan, reputasi JDT sebagai kelab gergasi bola sepak Malaysia terus utuh bagi menghadapi musim 2025/26.
Dalam beberapa musim kebelakangan ini, JDT tidak pernah ketinggalan untuk membawa masuk pemain kacukan yang berpotensi menyumbang kepada kelab dan negara. Langkah berterusan ini diteruskan lagi apabila skuad bimbingan Xisco Munoz berjaya mengikat empat lagi pemain berdarah kacukan baharu. Pemain-pemain ini bukan sahaja akan memperkukuh skuad JDT, malah sebahagian daripada mereka sudah mula menabur bakti bersama skuad Harimau Malaya.
Tiga daripada nama yang menjadi sebutan adalah Hector Hevel, Jon Irazabal dan Joao Figueiredo. Ketiga-tiga pemain ini sudah pun diberi peluang untuk memperkuatkan Harimau Malaya dalam perlawanan penting pusingan Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Nepal dan Vietnam. Kehadiran mereka jelas membuktikan kesungguhan JDT dalam menyokong pembangunan skuad kebangsaan.
Selain itu, kehadiran pemain tengah Sporting Gijon, Nacho Mendez, sebagai rekrut baharu turut memberi nilai tambah buat kelab tersebut. JDT sendiri mengesahkan status pemain tersebut sebagai pemain warisan Malaysia, sekali gus membuktikan mereka serius dalam membina pasukan yang mampu mengekalkan dominasi di pentas bola sepak domestik dan antarabangsa.
Pemerhati bola sepak tanah air, Mohd Fauzi Pilus, melihat perkembangan ini sebagai langkah bijak JDT untuk memastikan kelab tersebut kekal relevan dan berada di tahap tertinggi. Malah, kemasukan pemain baharu yang memiliki darah Malaysia ini dianggap sebagai satu kelebihan yang sukar ditandingi oleh pasukan lain.
“Apabila JDT berjaya menarik pemain berdarah kacukan, ia membuka ruang yang lebih luas untuk skuad kebangsaan mendapatkan pemain terbaik. Kita sedia maklum ramai pemain kebangsaan sudah sedia ada bersama JDT. Dengan kehadiran pemain kacukan baharu, kekuatan mereka bertambah dan ini memberi peluang untuk JDT terus bersaing di pentas antarabangsa seperti Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) dan Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC),” jelas Fauzi.
Beliau menambah bahawa kekuatan JDT akan terus memberi impak positif kepada skuad Harimau Malaya kerana pemain-pemain berkualiti mudah diakses oleh barisan kejurulatihan kebangsaan. Dengan kehadiran pemain terbaik di bawah satu bumbung, jurulatih boleh menyusun strategi dan membuat pemilihan pemain dengan lebih lancar.
“Kelebihan besar yang ada pada JDT adalah kebanyakan pemain beraksi di liga tempatan. Apabila pemain berkualiti berada di liga sendiri, ia memudahkan barisan kejurulatihan yang kini diketuai Peter Cklamovski untuk memanggil mereka ke kem latihan skuad kebangsaan,” katanya lagi.
Perkembangan ini juga membuka ruang kepada bakat tempatan lain untuk bersaing secara sihat, kerana pemain kacukan membawa standard permainan yang lebih tinggi. Ia sekaligus memaksa pemain tempatan lain untuk meningkatkan prestasi bagi kekal bersaing dalam skuad utama JDT mahupun skuad kebangsaan.
“Persaingan sihat ini penting kerana ia membina budaya kompetitif. Apabila pemain tempatan terpaksa bersaing dengan pemain berdarah kacukan yang ada pengalaman di kelab luar negara, mereka akan terdorong untuk berusaha lebih keras. Secara tidak langsung, ini memberi manfaat kepada bola sepak negara secara keseluruhan,” ujar Fauzi.
JDT sebelum ini juga sering menjadi perintis dalam pelbagai aspek pengurusan bola sepak moden di Malaysia. Dengan fasiliti bertaraf antarabangsa, pentadbiran yang teratur, serta sokongan kewangan kukuh, tidak hairanlah ramai pemain kacukan berminat untuk beraksi bersama kelab ini.
“Sudah tentu, pemain berdarah kacukan melihat JDT sebagai platform terbaik. Kelab ini memberi jaminan kestabilan dan peluang beraksi di pertandingan berprestij. Bagi pemain kacukan yang mahu mencipta nama di pentas Asia, JDT adalah pintu masuk yang sangat ideal,” jelasnya.
Dengan strategi kemasukan pemain kacukan, diharap Harimau Malaya mampu mencatat keputusan lebih baik di pentas antarabangsa. Penyokong bola sepak tempatan pula pastinya menantikan gandingan baharu ini beraksi di Liga Malaysia dan membawa nama negara ke peringkat lebih tinggi.