Kelab Selangor terus menerima tamparan apabila selepas dua pertahanan utama meninggalkan pasukan, kini giliran Fazly Mazlan pula dilaporkan bakal mengundurkan diri. Pemain berkenaan menamatkan perjalanan bersama Gergasi Merah sebagai pemain terbaru yang akan berpisah dengan juara MFL Challenge Cup 2024/26 tersebut.
Dalam perkembangan berkaitan, seorang pemain kebangsaan dari Singapura juga dilaporkan memilih untuk pulang ke negara asalnya meskipun masih mempunyai baki kontrak setahun. Difahamkan, beliau akan kembali memperkuat Lion City Sailors, kelab naib juara Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2), selepas tamat tempoh pinjaman bersama Selangor pada musim hadapan.
Turut menjadi perhatian, pemain tengah utama Selangor, Alex Agyarkwa, yang beraksi cemerlang di bawah bimbingan Katsuhito Kinoshi, dilihat memberi isyarat akan meninggalkan pasukan tidak lama lagi. Tanda tanya semakin berlegar apabila pemain berusia 24 tahun itu tidak disenaraikan dalam skuad utama yang berlepas ke Thailand bagi jelajah pramusim.
Perkongsian Agyarkwa melalui Instagram miliknya menguatkan lagi spekulasi tersebut. Menerusi satu hantaran ringkas, beliau dilihat menulis kenyataan pendek berbunyi, “Latihan terakhir bersama rakan-rakan,” sekali gus menambahkan lagi tanda tanya dalam kalangan penyokong.
Spekulasi perpindahan ini bukanlah baharu apabila sebelum ini timbul khabar bahawa pemain kelahiran Ghana tersebut bakal berhijrah ke Negeri Sembilan. Berdasarkan rekod di laman transfermarkt, kontrak Agyarkwa bersama Selangor sudah pun tamat sekitar Mei lalu.
Untuk makluman, Alex Agyarkwa mula bersama Selangor pada tahun 2021 dan telah membuat 64 penampilan serta menyumbang 11 bantuan jaringan. Bagaimanapun, musim lalu beliau berdepan masalah kecederaan yang sedikit menjejaskan prestasinya di atas padang.
Dengan keadaan ini, masa depan Agyarkwa bersama Gergasi Merah kini terus menjadi persoalan dalam kalangan peminat bola sepak tempatan.