Meskipun hanya perlawanan persahabatan, kehangatan bola sepak tempatan benar-benar dirasai apabila penyokong tegar Kelantan Red Warriors (KRW) membanjiri Stadium KLFA untuk menyaksikan pertembungan menentang Negeri Sembilan.
Suasana gamat, sorakan penuh semangat, dan gegaran chant penyokong menjadikan suasana malam itu luar biasa. Aura bola sepak kembali menyala dalam kalangan penyokong Kelantan yang cukup dahagakan aksi pasukan kesayangan mereka.
Sayangnya, sorakan semangat itu tidak berjaya membantu pasukan meraih kemenangan apabila KRW tumbang 0-2 di tangan Negeri Sembilan. Dua jaringan yang cukup kemas berjaya dilakukan oleh pemain Negeri Sembilan iaitu Mio Tsuneyasu pada babak pertama, diikuti oleh A. Selvan pada separuh masa kedua.
Walaupun keputusan tidak menyebelahi pasukan, namun ia tetap menjadi satu isyarat positif buat pengurusan dan pemain bahawa sokongan penyokong masih kukuh. Ribuan penyokong membuktikan cinta mereka terhadap pasukan tidak pernah luntur walau prestasi pasukan masih mencari rentak.
Pemain KRW turut menampilkan semangat juang tinggi dan beberapa percubaan yang hampir membuahkan hasil. Aksi tersebut jelas menjadi medan pemanas badan sebelum kempen liga sebenar bermula dan memberi ruang kepada jurulatih menilai kombinasi terbaik pemain utama dan pelapis.
Perlawanan ini juga menjadi bukti bahawa bola sepak Kelantan masih hidup dan bernafas dengan kuat di hati penyokongnya. Tidak kira kalah atau menang, semangat ‘Gomo Kelate Gomo’ tetap bergema sepanjang 90 minit perlawanan berlangsung.
Ramai penyokong turut meluahkan rasa bangga di media sosial kerana dapat kembali merasai suasana bola sepak sebenar dengan rakan-rakan penyokong yang lain. Ada yang datang dari jauh semata-mata untuk menyokong pasukan, menunjukkan bahawa KRW bukan sekadar pasukan bola sepak, tetapi simbol semangat rakyat Kelantan.
Meskipun tewas, malam itu membuktikan satu perkara – KRW belum mati. Dan penyokongnya? Masih setia, masih bersemangat, dan masih menunggu kebangkitan sebenar.