SUKAN

TERKINI : Keputusan aksi Malaysia di Separuh Akhir

Impian skuad hoki lelaki remaja kebangsaan untuk menjejak kaki ke pentas final Piala Asia Bawah 18 Tahun (B-18) 2025 lebur selepas ditundukkan Pakistan menerusi penentuan penalti dalam aksi separuh akhir yang berlangsung di Pusat Latihan Hoki Nasional Dazhou, China, pada Jumaat lalu.

Perlawanan separuh akhir tersebut bermula dengan penuh dramatik apabila Pakistan membuka tirai jaringan seawal minit ke-5 melalui pukulan sudut penalti yang disempurnakan Abdullah Awan. Tidak lama kemudian, pada minit ke-8, Hassan Shahbaz menggandakan kelebihan Pakistan dengan satu lagi pukulan sudut penalti tepat ke gawang Malaysia. Tersentak dengan jaringan awal tersebut, skuad muda Malaysia yang diketuai Mohd Suffian Mohamad segera menyusun semula permainan. Hasilnya, penyerang utama negara, Muhammad Safwan Salihe, tampil dengan aksi luar biasa apabila menjaringkan tiga gol berturut-turut – kesemuanya melalui pukulan sudut penalti pada minit ke-10, 18 dan 28. Jaringan tersebut meletakkan Malaysia di depan dengan kelebihan 3-2, sekaligus membangkitkan sorakan gemuruh penyokong di venue perlawanan.

Namun kelebihan itu hanya bertahan sehingga minit ke-40 apabila Hassan Shahbaz kembali menghukum pertahanan Malaysia dengan menjaringkan gol padang yang menyamakan kedudukan 3-3. Gol penyamaan tersebut memaksa perlawanan diheret ke penentuan penalti untuk menentukan finalis yang akan mara ke pentas akhir.

Dalam aksi penalti yang mendebarkan itu, tiga pemain Malaysia – Aferullsyah Ahmad Azuan Syahril, Rahuul Fazrien Muhammad Nazrien dan Harieq Hadief Mohd Fariq berjaya menunaikan tanggungjawab masing-masing. Bagaimanapun, ia tidak cukup untuk menyaingi empat pemain Pakistan iaitu Muhammad Shaheer, Zubair Latif, Abdullah Awan dan Ali Hamza yang menyempurnakan semua pukulan mereka dengan tenang. Keputusan 3-4 itu bermakna Malaysia terpaksa akur berputih mata.

Walaupun kecewa gagal ke pentas final, skuad remaja negara masih memiliki peluang untuk pulang dengan sekurang-kurangnya pingat gangsa apabila bakal berdepan Bangladesh pada Ahad ini. Bangladesh sebelum ini tunduk 4-6 kepada Jepun dalam satu lagi aksi separuh akhir. Pertemuan menentang Bangladesh menjadi pentas kebangkitan anak muda Malaysia untuk sekurang-kurangnya membawa pulang sesuatu buat penyokong setia.

Jurulatih Malaysia, Mohd Suffian Mohamad tetap memuji usaha barisan pemainnya yang menunjukkan semangat tinggi sehingga ke detik akhir. Beliau berharap pengalaman berharga ini akan menjadi batu loncatan untuk membentuk skuad yang lebih mantap pada masa depan.