Tonggak JDT sudah bersedia

 Jakarta bakal menjadi pentas ujian sebenar buat skuad muda negara apabila kempen Piala Mandiri B-23 ASEAN 2025 membuka tirainya minggu hadapan. Dalam kesibukan persiapan terakhir, pemain tengah negara, Aysar Hadi Mohd Shafri tampil memberi kata-kata semangat kepada rakan sepasukan agar kekal fokus dan tidak mudah terpengaruh dengan sebarang provokasi daripada penyokong lawan.

Bagi Aysar, kekuatan sebenar pasukan bukan hanya bergantung kepada taktikal semata-mata, tetapi juga pada ketenangan serta keupayaan pemain mengekalkan fokus sepanjang perlawanan berlangsung.

“Kami tahu situasi di sana nanti akan tegang, penyokong tuan rumah pasti akan cuba menggugat kami. Tapi yang penting adalah kekal berdisiplin dan beri sepenuh perhatian pada permainan,” ujarnya penuh yakin.

Beliau turut menegaskan bahawa setiap perlawanan akan menjadi penentu kepada nasib Malaysia dalam kejohanan ini, dan tiga mata adalah matlamat utama dalam setiap aksi.

“Yang penting adalah tiga mata. Kalau kita beraksi cemerlang dan tidak hilang fokus, saya percaya kita boleh capai sasaran untuk layak ke peringkat seterusnya,” kata Aysar.

Tambah pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu lagi, pasukan kini berada dalam keadaan bersedia dari segi mental dan fizikal, biarpun latihan yang dijalankan agak singkat.

“Jurulatih telah siapkan kami dengan pendekatan permainan yang sesuai. Fokus kami adalah bermain dengan hantaran pendek dan elakkan kehilangan bola,” jelasnya mengenai strategi utama pasukan.

Aysar turut memberi kredit kepada barisan pemain lain yang disifatkannya sebagai berkualiti dan mudah untuk bekerjasama, menjadikan proses adaptasi dengan formasi serta falsafah permainan jurulatih berjalan lancar.

“Semua yang dipanggil ke kem ini ada kualiti tersendiri. Ini memudahkan kami untuk cepat sesuaikan diri dan memahami peranan masing-masing dalam sistem yang diterapkan,” ujarnya.

Menyentuh mengenai saingan kumpulan, Malaysia diletakkan dalam Kumpulan A bersama tuan rumah Indonesia, Filipina dan Brunei. Aysar tidak menafikan bahawa setiap lawan memiliki kekuatan tersendiri, namun beliau percaya jika skuad negara kekal fokus, mereka mampu mencipta kejayaan.

“Lawan bukan calang-calang, tetapi kami juga bukan pasukan lemah. Insya-Allah, dengan semangat dan persediaan rapi, kami akan beri saingan terbaik,” katanya.

Skuad kendalian Nafuzi Zain akan memulakan cabaran menentang Filipina pada 15 Julai, sebelum berdepan Brunei pada 18 Julai, dan aksi kemuncak kumpulan akan berlangsung pada 21 Julai menentang Indonesia. Semua perlawanan akan berlangsung di Gelora Bung Karno, stadium yang terkenal dengan lautan penyokong fanatik tuan rumah.

Jika berjaya berada di kedudukan dua teratas, Malaysia akan mara ke peringkat separuh akhir pada 25 Julai. Perlawanan penentuan tempat ketiga dan pentas final pula dijadualkan pada 29 Julai.