SUKAN

Dua sekaligus pertemuan sesama sendiri di pusingan pertama Terbuka Jepun

Pengarah Kejurulatihan Beregu BAM, Rexy Mainaky, menegaskan bahawa pertemuan awal antara beregu lelaki negara dalam kejohanan utama bukan halangan, sebaliknya menjadi cabaran yang perlu dihadapi untuk melonjakkan prestasi ke tahap lebih tinggi.

Menurut Rexy, kehadiran ramai pasangan beregu lelaki kompetitif, sama ada di bawah BAM atau profesional, merupakan satu perkembangan yang sihat bagi arena badminton Malaysia. Beliau berkata ini memberi ruang kepada pasangan muda seperti Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King dan Muhammad Haikal-Choong Hon Jian untuk membuktikan kemampuan mereka.

“Kita kini memiliki ramai pasangan yang layak ke kejohanan utama. Maka, pertemuan sesama sendiri adalah perkara biasa. Ia sebenarnya satu peluang untuk mereka gunakan sebagai motivasi meningkatkan prestasi dan kedudukan ranking,” kata Rexy dalam satu sidang media selepas sesi latihan.

Beliau turut menegaskan bahawa peningkatan prestasi akan membantu pemain mengelak daripada bertemu rakan senegara pada pusingan awal. “Tiada alasan. Pemain profesional pun wujud, jadi semua harus bersaing dengan adil,” tambahnya lagi.

Dalam saingan Terbuka Jepun (Super 750), dua perlawanan sesama sendiri dijangka menarik perhatian. Arif-Roy King akan berdepan pasangan pilihan keenam dunia, Man Wei Chong-Tee Kai Wun, manakala Aaron Chia-Soh Wooi Yik bakal menentang pasangan profesional Ong Yew Sin-Teo Ee Yi.

Rexy turut memaklumkan bahawa jurulatih utama beregu lelaki, Herry Iman Pierngadi, sudah merancang penyenaraian beberapa gandingan ke kejohanan Super 300 dan Super 500. Inisiatif ini bagi membolehkan pasangan terlibat mengumpul lebih banyak mata ranking dan mendapat peluang beraksi di kejohanan lebih besar.

“Kalau mereka konsisten dan berprestasi baik, kita akan naik taraf penyertaan mereka ke kejohanan lebih besar. Bila bertemu lawan lebih hebat, itu akan bantu meningkatkan tahap permainan mereka,” jelasnya.

Menjelang aksi Terbuka Jepun dan Terbuka China (Super 1000), Rexy memberitahu bahawa kesemua pemain dalam keadaan baik dari segi fizikal dan mental, dan bersedia untuk menghadapi saingan getir di peringkat antarabangsa.