SUKAN

“Kami bukan penapis air “– Rezal Zambery

Dua hari. Itulah tempoh terakhir yang diberikan oleh bekas jurulatih Kelantan TRW FC, Rezal Zambery, kepada bekas majikannya bagi melunaskan tunggakan gaji pemain dan pegawai pasukan dari musim lalu. Bagi Rezal, masa semakin suntuk dan kesabaran sudah lama habis.

Di sebuah sidang media yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Rezal tampil dengan kenyataan lantang, menolak semua cadangan penyelesaian hutang yang disifatkannya sebagai tidak adil.

“Kami bukan mesin air nak dibayar RM200 sebulan. Kalau begitu, hutang ini akan selesai bila? 10 tahun? 20 tahun?,” katanya sambil mengangkat nada suara. Tiga cadangan diberikan kelab: potong separuh gaji asal, bayar RM200 sebulan atau upah per perlawanan antara RM500 hingga RM1,000. Semuanya ditolak.

Bagi Rezal, yang menyaksikan sendiri jerih perih pemain tempatan yang bertungkus-lumus hingga hujung musim, layanan berbeza terhadap pemain import adalah sesuatu yang sukar diterima.

“Pemain import boleh pula dibayar habis walaupun latihan pun tak hadir, tapi pemain tempatan yang berkorban tak dipedulikan,” ujarnya.

Beliau mendedahkan bahawa hampir 20 pemain dan pegawai masih belum menerima gaji bagi Februari hingga April 2025. Jika tiada jalan penyelesaian, langkah seterusnya adalah membawa perkara ini ke Jawatankuasa Status FAM.

Lebih mengejutkan, Rezal turut membuat tuntutan terhadap Presiden KDN FC, Rozi Muhammad, atas dakwaan hutang peribadi hampir ratusan ribu ringgit yang digunakannya untuk membantu pasukan musim lalu.

“Saya keluarkan duit sendiri demi pasukan, sekarang saya pula dituntut oleh pihak ketiga. Mana kebertanggungjawaban Rozi?” soalnya, kecewa.

Di sudut lain, seorang pemain, Faizal Taib, 28 tahun, berkongsi kisah perit yang dilaluinya. Bakal menimang anak kedua, Faizal kini hidup dalam tekanan apabila masih belum menerima gaji selama tiga bulan.

“Ada pemain kena halau dari rumah sewa. Kalau saya bujang tak mengapa, tapi saya ada keluarga, ada tanggungjawab,” katanya.

Kini Faizal mencari rezeki sebagai peniaga ayam di pasar pagi dan turut berniaga di pasar malam bersama rakan. Tawaran bermain dari pasukan lain ada, tetapi trauma yang ditinggalkan belum terubat.

“Saya harap isu ini selesai dengan baik. Cukup-cukuplah kami tanggung derita,” tambahnya dengan suara penuh harapan.

Apa yang berlaku di Kelantan TRW bukan hanya soal kewangan, tetapi soal maruah dan keadilan buat mereka yang telah banyak berkorban demi kelab.