SUKAN

“Saya terlupa sudah hampir 50 tahun” — Khairy Jamaluddin

“Saya terlupa sudah hampir 50 tahun (usia),” demikian ungkapan bersahaja daripada Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang baru sahaja menamatkan larian separuh maraton sejauh 21 kilometer di Score Marathon AIA Vitality pada Ahad lalu.

Khairy, yang kini berusia 49 tahun, menyertai ribuan peserta dalam acara tahunan yang berlangsung di Putrajaya itu. Meski mengakui tidak meletakkan sebarang sasaran masa, beliau tetap menaruh harapan untuk menghabiskan larian dalam tempoh dua jam 10 minit.

Namun, faktor kepenatan serta ketiadaan masa mencukupi untuk pemulihan menyukarkannya mencapai sasaran tersebut.

“Saya tidak meletakkan sebarang sasaran, hanya berlari sahaja,” ujar Khairy, yang kini dikenali sebagai KJ dalam kalangan rakyat Malaysia.

Menurutnya, penyertaan berturut-turut dalam beberapa acara fizikal sebelum ini memberi kesan terhadap stamina dan prestasinya.

“Buat Powerman, kemudian Hyrox dan hari ini (Ahad) ‘half marathon’ secara berturut-turut, memang tidak cukup masa untuk proses pemulihan,” jelasnya sambil tersenyum.

Dengan penyertaan lebih 33,000 individu dari pelbagai latar belakang, Score Marathon edisi tahun ini mencatat sejarah sebagai antara maraton terbesar di negara ini.

Meskipun lokasi acara adalah Putrajaya – kawasan yang biasanya dianggap sesuai untuk pelari kerana landskapnya yang rata – Khairy berpendapat sebaliknya.

“Laluan kali ini lebih mencabar daripada biasa. Walaupun kita berlari di Putrajaya, laluan yang dipilih agak ‘rolling’ dan berbukit. Jadi memang bukan larian mudah,” katanya.

Bagi beliau, aspek cabaran ini menjadikan acara tersebut lebih istimewa dan memberi pengalaman baharu buat peserta.

Khairy turut menyatakan rasa bangganya terhadap penganjuran Score Marathon yang menurutnya telah berkembang pesat sejak diperkenalkan semasa beliau menyandang jawatan Menteri Belia dan Sukan.

“Score Marathon bermula semasa saya di Kementerian Belia dan Sukan. Hari ini kita dapat lihat betapa pesatnya perkembangan acara ini dengan lebih 33,000 penyertaan. Ini bukti ia antara maraton terbaik dari segi penganjuran,” katanya lagi.

Dengan penglibatan peserta dalam jumlah luar biasa serta tahap penganjuran bertaraf global, Score Marathon kini boleh dianggap sebagai salah satu acara larian utama yang menjadi tumpuan saban tahun.