Nama Muhammad Dharma Raj Abdullah tidak asing dalam kalangan peminat hoki tempatan, namun kini namanya semakin harum di persada antarabangsa apabila berjaya mengukir kejayaan besar di Indonesia. Sejak berhijrah enam tahun lalu, Dharma telah membuktikan keupayaannya mengubah landskap hoki negara jiran itu.
Beliau kini berperanan sebagai Pengarah Teknikal Federasi Hoki Indonesia (FHI), satu pencapaian yang tidak datang dengan mudah. Ketika ditemui, Dharma menceritakan bagaimana beliau bermula dari bawah, melatih pasukan Wilayah Jawa Barat sebelum menerima tawaran lebih besar.
“Saya masih aktif memberi latihan walaupun memegang jawatan teknikal. Saya percaya sentuhan di padang tetap penting bagi perkembangan pemain,” katanya.
Momen paling membanggakan buatnya ialah ketika pasukan hoki dalam dewan Indonesia memenangi pingat emas di Sukan Sea 2023 setelah menundukkan Malaysia, bekas negara yang pernah diterajuinya.
Menurut Dharma, masyarakat Indonesia menunjukkan penghargaan tinggi kepada jurulatih asing yang berintegriti dan berdedikasi.
“Saya selesa berada di sini kerana hasil kerja dihargai. Sokongan moral dan profesional sangat kuat. Itu yang membuat saya terus kekal,” ujarnya.
Selain itu, aspek kewangan turut memainkan peranan dalam keputusannya untuk kekal berbakti di luar negara.
“Gaji saya lebih baik di sini. Bonus pula sangat menarik, terutamanya selepas memenangi emas pada Sukan Sea. Itu satu kelebihan yang saya tidak nafikan,” kata Dharma tanpa menyatakan jumlah spesifik.
Karier Dharma di Malaysia sebelum ini juga cukup membanggakan. Beliau mengemudi Skuad Projek 2013 yang memenangi kejohanan Piala Sultan Johor 2011 dan Piala Remaja Asia 2012, serta menduduki tempat keempat di Piala Dunia Remaja 2013.
Tidak cukup dengan itu, beliau turut membawa skuad senior ke pentas akhir Piala Sultan Azlan Shah 2014 sebelum tewas kepada Australia.
Bagi pasukan wanita pula, Dharma berjaya melonjakkan prestasi mereka dan menghadiahkan satu lagi emas menerusi skuad hoki dalam dewan wanita di Sukan Sea 2019.
Dengan pengalaman dan reputasi yang dimilikinya, Dharma Raj kini menjadi aset penting kepada pembangunan hoki di Indonesia. Meski berjauhan dengan keluarga, pengorbanannya nyata membuahkan hasil.