SUKAN

Viktor Gyokeres Bakal didenda dan diminta mohon maaf

Kecoh dalam kem Sporting CP apabila penyerang utama pasukan, Viktor Gyokeres dilaporkan tidak menghadirkan diri ke sesi latihan pramusim seperti dijadualkan. Presiden kelab, Frederico Varandas menyatakan tindakan tegas bakal dikenakan ke atas pemain itu termasuk denda dan permohonan maaf kepada rakan sepasukan.

Gyokeres yang kini dikaitkan dengan perpindahan ke Arsenal, dijangka menyertai latihan di Algarve selepas cuti panjang. Namun kelibatnya tidak kelihatan, sekali gus menimbulkan tanda tanya di kalangan pihak pengurusan dan peminat.

Dalam kenyataan kepada agensi berita Lusa, Varandas menegaskan bahawa kelab tidak akan berkompromi dengan disiplin pemain, walaupun pemain itu merupakan tonggak utama skuad.

“Kami tidak akan membiarkan tindakan sebegini berlaku tanpa akibat. Dia akan dikenakan denda berat dan perlu memohon maaf kepada seluruh pasukan,” jelas Varandas.

Situasi ini berlaku ketika khabar angin bertiup kencang mengenai minat Arsenal untuk mendapatkan khidmat Gyokeres. Walau bagaimanapun, Varandas menegaskan bahawa kelab tidak akan tunduk kepada tekanan luar yang cuba memaksa perpindahan berlaku dengan cara yang tidak profesional.

“Sesiapa yang fikir mereka boleh menekan saya untuk mempercepat perpindahan, mereka silap. Tindakan itu hanya menyukarkan proses perpindahan,” katanya.

Malah beliau memberi jaminan, jika tiada tawaran yang memenuhi nilai pasaran pemain itu, Sporting bersedia untuk terus menggunakan khidmatnya dalam tempoh kontrak yang berbaki.

Gyokeres menyertai kelab itu tahun lalu dari Coventry City dan menjadi antara penjaring terbanyak liga. Dengan 97 jaringan dalam 102 perlawanan, beliau menyumbang besar kepada kejayaan Sporting menjulang Liga Primeira dua musim berturut-turut.

Sporting kini dalam persiapan menghadapi perlawanan persahabatan menentang Celtic di Estadio Algarve. Meski isu ini mengganggu tumpuan, pasukan kekal fokus pada perlawanan dan pembangunan fizikal menjelang musim baharu.

Tiada kenyataan rasmi dari Gyokeres atau wakilnya setakat ini, namun tekanan ke atas penyerang itu semakin meningkat apabila masa depan beliau bersama Sporting terus menjadi tanda tanya.

Kelab tetap dengan pendirian bahawa kepentingan organisasi mengatasi individu. Menurut Varandas, “Tiada siapa yang lebih besar daripada kelab.”