Komen Jurulatih Sabah selepas teruk dibelasah Buriram

Sabah FC kini giat menjalani proses pembentukan pasukan menjelang sepak mula Liga Malaysia yang bakal berlangsung awal Ogos nanti. Jurulatih utama, Alto Linus, menekankan bahawa pasukan masih berada dalam fasa pembangunan taktikal dan fizikal.

Baru-baru ini, dalam aksi pemanas badan menentang Buriram United, The Rhinos tunduk 2-8 kepada pasukan dari Thailand. Walaupun keputusan itu mengecewakan, Alto tetap berpendirian ia adalah sebahagian daripada proses pembelajaran penting buat pasukannya.

“Kita diuji oleh kelab elit Asia Tenggara. Ia mendedahkan beberapa kekurangan yang perlu ditangani segera, termasuk aspek pertahanan dan peralihan permainan. Kekalahan ini membuka mata kita,” jelasnya.

Menurut Alto, perlawanan tersebut amat penting dalam menilai persediaan pasukan. Beliau turut menyasarkan tiga hingga empat lagi perlawanan persahabatan untuk menyiapkan pasukan sebelum aksi liga bermula.

“Latihan pra musim baru sahaja bermula kurang sebulan. Masih banyak ruang yang perlu diperbaiki. Kami akan manfaatkan semua perlawanan yang ada untuk memperkukuh struktur permainan,” katanya.

Menariknya, pemain-pemain muda yang baru dinaikkan dari skuad B-23 menunjukkan perkembangan positif, jelas kelihatan dari segi disiplin dan tanggungjawab ketika diberi peluang.

Alto turut memuji persembahan tiga pemain import baharu – Dean Pelekanos, Dane Ingham, dan Ajdin Mujagic – yang sudah menunjukkan potensi besar namun memerlukan masa untuk mencapai tahap kecergasan dan keserasian yang lebih baik.

“Mereka memiliki kemampuan yang tinggi. Kami yakin mereka boleh menyumbang lebih banyak sebaik sahaja fizikal dan taktikal mereka mencapai tahap optimum,” katanya.

Sabah FC akan terus mengadakan perlawanan persahabatan dalam minggu-minggu mendatang, sambil mempersiapkan barisan terbaik untuk cabaran Liga Malaysia yang semakin hampir.