Pasaran pemain makin tenat

 Zaman kegemilangan pemain bola sepak tempatan yang menerima bayaran gaji mewah semakin pudar apabila landskap Liga Malaysia (Liga M) kini berhadapan krisis kewangan yang meruncing. Kegawatan ekonomi yang menjejaskan kebanyakan pasukan bertanding menjadikan pemain perlu bersedia untuk menerima bayaran gaji seadanya, tanpa lagi berpeluang untuk menuntut habuan lumayan seperti dahulu.

Menurut Sulaiman Hussin, pemerhati bola sepak yang lama mengikuti perkembangan liga tempatan, pemain tidak boleh lagi bergantung kepada imej dan status semata-mata dalam meletakkan nilai gaji. Beliau menyeru agar para pemain memahami realiti semasa dan bertindak bijak untuk memastikan kesinambungan karier mereka.

“Pasaran bola sepak negara tidak lagi seperti dulu. Faktor kewangan jelas menjadi penghalang besar. Kebanyakan pasukan kini bergelut dengan masalah kewangan. Dalam keadaan ini, pemain tidak lagi mempunyai kuasa untuk menetapkan permintaan gaji yang tinggi,” katanya.

Sulaiman turut memberi peringatan kepada mana-mana pemain yang masih berpegang pada status ‘bintang’ dan ingin mengekalkan tuntutan gaji tinggi. Katanya, tindakan sedemikian hanya akan merugikan pemain itu sendiri.

“Kalau ada pemain yang masih mahukan gaji tinggi, mereka akan susah mendapat tempat dalam mana-mana pasukan. Ada yang terpaksa menerima bayaran lebih rendah hanya untuk terus berada dalam kancah bola sepak kerana ini adalah periuk nasi mereka,” jelasnya.

Beliau turut menegaskan bahawa tanpa pasukan, seorang pemain bola sepak tidak akan mempunyai pentas untuk menyerlahkan kebolehan. Hal ini boleh mengakibatkan kerjaya pemain terjejas teruk.

“Kalau tiada pasukan, ia menjadi satu masalah besar. Saya lihat ramai pemain ketika ini perlu lebih bersederhana dalam permintaan mereka. Tidak banyak pasukan mampu membayar gaji seperti dahulu,” ujarnya.

Justeru, Sulaiman menyarankan agar semua pemain menyesuaikan diri dengan keadaan semasa dan memastikan mereka kekal relevan dalam pasukan.

“Apa yang penting sekarang, mereka perlu pastikan mereka masih ada pasukan untuk beraksi. Itu lebih utama dari mengejar gaji tinggi yang belum tentu mampu dibayar oleh mana-mana kelab,” katanya penuh makna.

Kenyataan ini memperlihatkan bahawa pemain bola sepak perlu berfikiran praktikal dan beradaptasi dengan realiti semasa industri bola sepak tanah air. Sambil mengekalkan semangat bersaing, mereka juga perlu menilai semula keutamaan dalam menempuh cabaran kewangan pasukan-pasukan di Liga M.