Presiden PSSI, Erick Thohir, bakal melepaskan jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pengadil setelah menerima teguran daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) yang tidak membenarkan seseorang memegang dua jawatan utama dalam persatuan yang sama.
Menurut FIFA, amalan di mana seorang presiden persatuan turut memegang kerusi dalam jawatankuasa penting lain dianggap melanggar etika pentadbiran bola sepak antarabangsa. Langkah Erick untuk meletak jawatan dilihat sebagai pematuhan kepada prinsip tersebut.
“Saya telah diberi teguran oleh FIFA kerana tiada lagi di dunia ini presiden persatuan bola sepak yang juga mengetuai jawatankuasa pengadil,” kata Erick.
Tambah beliau, keputusan untuk memegang dua jawatan tersebut sebelum ini dibuat atas dasar membantu proses peralihan dan memantapkan struktur pengadilan bola sepak di Indonesia.
Tokoh yang bakal mengambil alih jawatan itu ialah Yoshimi Ogawa, individu yang sudah menyumbang secara teknikal kepada PSSI sejak tahun 2023.
Ogawa dikatakan memainkan peranan penting dalam memperkukuh sistem pengadilan negara dan telah banyak mempelajari kaedah serta amalan terbaik dari Persatuan Bolasepak Jepun (JFA).
“Ogawa masih dalam fasa menyesuaikan diri dengan sistem bola sepak Indonesia. Jadi saya bantu dia sementara waktu, sebelum dia menggalas tanggungjawab penuh,” jelas Erick lagi.
Langkah ini menunjukkan komitmen PSSI dalam memastikan sistem pengadil yang bebas, profesional dan diyakini, sejajar dengan standard antarabangsa.
Pemerhati sukan melihat keputusan Erick sebagai langkah positif dan progresif ke arah pembaharuan sistem pengadilan negara yang lebih telus dan berwibawa.