Punca ketidakhadiran dua tonggak Indonesia di Piala ASEAN B-23

Keputusan mengejutkan dibuat jurulatih skuad B-23 Indonesia, Gerald Vanenburg, apabila beliau memilih untuk tidak menyenaraikan dua pemain ternama, Rafael Struick dan Marselino Ferdinan, dalam kempen Piala Mandiri ASEAN B-23 di Jakarta.

Struick dan Marselino, yang pernah mencuri tumpuan sebagai tunjang utama skuad senior Indonesia dalam pusingan kelayakan Piala Dunia 2026, dijangka akan mengemudi barisan muda negara dalam kejohanan kali ini.

Namun segalanya terjawab dalam sidang media rasmi semalam. Vanenburg tampil dengan ketegasan, menyatakan bahawa kedua-dua pemain itu tidak termasuk dalam rancangannya.

“Tidak. Mereka tidak akan bermain. Mereka bukan dalam perancangan kami,” tegas jurulatih berasal dari Belanda itu.

Sungguhpun layak untuk beraksi berdasarkan had umur kejohanan, Vanenburg melihat misi lebih besar sedang menanti. Bagi beliau, tumpuan harus diberikan kepada pembangunan pemain muda lain yang boleh menjadi tunjang masa depan skuad senior.

“Kelayakan ke Piala Dunia 2026 lebih penting dari segalanya. Saya senang melihat pemain lain berkembang dan membawa manfaat kepada Indonesia di masa akan datang,” katanya.

Keputusan tersebut turut menyentuh peranan dua pemain itu dalam skuad kendalian Patrick Kluivert, yang mana Struick dan Marselino telah menjadi aset penting dalam beberapa siri perlawanan antarabangsa.

“Mereka sudah berada di tahap lebih tinggi dan kami harus beri ruang kepada pemain lain dalam kejohanan ini,” ujar Vanenburg.

Ketika Struick, 22 tahun, dan Marselino, 20 tahun, terus mengukuhkan kedudukan dalam skuad utama, kepercayaan Vanenburg kepada barisan pelapis B-23 mencerminkan hala tuju pembangunan jangka panjang pasukan.