TERKINI : Alasan utama Harimau Malaya terpaksa tarik diri CAFA 2025

Keputusan Harimau Malaya menarik diri daripada Piala CAFA 2025 membuka banyak persoalan dan pada masa sama, memberikan gambaran jelas tentang keutamaan pasukan kebangsaan di bawah kendalian Peter Cklamovski.

Jurulatih kelahiran Australia itu menjelaskan bahawa keputusan tersebut tidak diambil dengan mudah. Ia datang selepas penilaian mendalam terhadap faktor logistik serta kesukaran menyusun skuad terbaik apabila kejohanan dijalankan di luar kalendar rasmi FIFA.

Piala CAFA yang dijadual berlangsung dari 26 Ogos hingga 9 September dilihat sebagai platform penting untuk mempersiapkan pasukan menjelang Piala Asia dan kelayakan Piala Dunia. Namun, impian itu tergugat apabila Malaysia diundi bersama dua pasukan kuat, Iran (ranking ke-2 Asia) dan Tajikistan (ranking ke-106 dunia). Lebih merumitkan, dua perlawanan awal tidak dijadualkan dalam tempoh jendela FIFA.

“Ini bukan keputusan mudah, namun realistik,” jelas Cklamovski. Beliau turut mengakui bahawa keinginan untuk bertanding dengan barisan terkuat tidak dapat direalisasikan apabila ramai pemain utama dijangka tidak mendapat pelepasan daripada kelab masing-masing.

“Pemain yang berada di Sepanyol, Argentina dan Colombia sukar untuk dibawa ke Tajikistan pada waktu tersebut. Saya tidak mahu sekadar hadir tanpa persiapan rapi atau dengan pasukan tidak lengkap,” katanya.

Bagi Cklamovski, kekuatan penuh merupakan satu keutamaan dalam setiap kejohanan. Kehadiran dalam CAFA tanpa pemain utama akan menjejaskan objektif sebenar pasukan.

“Kami bukan ingin ke sana hanya untuk mencuba nasib. Jika kami bertanding, ia adalah untuk mencabar kejuaraan. Maka, tanpa kekuatan maksimum, keputusan untuk berundur adalah lebih baik,” tambahnya.

Langkah ini juga memberi ruang kepada skuad kebangsaan untuk memanfaatkan jendela FIFA pada bulan September dengan perlawanan persahabatan antarabangsa yang boleh meningkatkan keserasian pasukan dan memperbaiki kedudukan ranking dunia.

Harimau Malaya kini menyasarkan untuk berada pada prestasi optimum menjelang aksi kelayakan Piala Dunia yang akan bersambung pada bulan Oktober dan November.