SUKAN

Jumlah gol diperlukan Malaysia berdepan Indonesia untuk Layak

Tugasan mencabar menanti skuad Harimau Muda apabila mereka perlu menang ke atas Indonesia dengan jaringan 3-0 tanpa bolos dalam perlawanan terakhir peringkat Kumpulan A Piala AFF B-23 yang akan berlangsung di Stadium Gelora Bung Karno (GBK), Jakarta pada Isnin ini.

Keperluan mendesak ini muncul kerana Malaysia bukan sahaja perlu meraih kemenangan, malah margin jaringan besar diperlukan untuk membolehkan mereka menamatkan saingan sebagai juara kumpulan.

Bagaimanapun, laluan untuk ke separuh akhir bukan mudah apabila Indonesia hanya memerlukan satu mata untuk mengesahkan tempat ke peringkat seterusnya.

Situasi semakin kompleks apabila Kumpulan A mempunyai empat pasukan, berbanding Kumpulan B dan C yang hanya terdiri daripada tiga pasukan. Ini menyebabkan keputusan menentang pasukan keempat tidak diambil kira dalam pengiraan.

Peraturan kejohanan menetapkan bahawa jika dua pasukan mengumpul mata yang sama, keputusan pertemuan antara mereka akan menjadi penentu kedudukan.

Masih ada harapan buat skuad kendalian Nafuzi Zain. Sekiranya menang 3-0 ke atas tuan rumah, Malaysia akan mengungguli kumpulan dan mara secara automatik ke separuh akhir.

Namun, jika menang 2-0, skuad negara hanya mampu bergelar naib juara kumpulan dan perlu menunggu keputusan kumpulan lain untuk melihat peluang ke separuh akhir.

Jika hanya menang tipis 1-0, Filipina yang menang 2-0 ke atas Malaysia sebelum ini akan muncul juara kumpulan berdasarkan peraturan ‘head to head’. Indonesia pula bakal menjadi naib juara.

Situasi ini pastinya memberikan tekanan hebat kepada skuad negara yang akan bermain di hadapan puluhan ribu penyokong setia Indonesia di GBK.

Nafuzi perlu merencana strategi menyerang yang berkesan dan mengelak sebarang kesilapan mudah yang boleh mengundang padah kepada impian Malaysia.