Menjelang pertembungan penentu Kumpulan A Piala ASEAN B-23 2025 antara Indonesia dan Malaysia, pengendali skuad B-23 Indonesia, Gerald Vanenburg tetap menaruh perhatian terhadap keupayaan lawannya itu.
Biarpun Harimau Muda tewas 0-2 kepada Filipina dalam aksi pembukaan, Vanenburg tidak melihat pasukan kendalian Nafuzi Zain itu sebagai lemah, sebaliknya menyifatkan mereka sebagai skuad berbakat dan sukar dijangka.
“Malaysia B-23 bukan lawan yang mudah. Saya menyedari mereka mempunyai barisan pemain yang bagus dan saya yakin mereka akan memberikan cabaran yang sengit dalam perlawanan akan datang,” kata jurulatih kelahiran Belanda itu.
Tambah beliau lagi, fokus utama tetap diberikan kepada persediaan taktikal pasukan Indonesia bagi memastikan kejayaan di gelanggang keramat mereka, Stadium Gelora Bung Karno.
“Kami menghormati lawan, tetapi matlamat utama kami ialah bagaimana untuk mengekalkan momentum dan memenangi perlawanan ini. Pemain saya telah menunjukkan semangat tinggi dan saya percaya dengan kemampuan mereka,” ujarnya.
Indonesia kini berada di puncak Kumpulan A selepas mencatat dua kemenangan berturut-turut, termasuk kemenangan tipis 1-0 ke atas Filipina menerusi jaringan sendiri Jaime Rosquillo.
Malaysia pula berada di tempat ketiga dengan tiga mata, sama seperti Filipina namun dibezakan oleh kekalahan pertemuan awal kepada skuad Young Azkals itu.
Skuad Harimau Muda bagaimanapun kembali bangkit dengan penuh bergaya apabila mencatat kemenangan besar 7-1 ke atas Brunei dalam aksi kedua.
Brunei yang kini menghuni tangga terakhir kumpulan terus dirundung malang dengan dua kekalahan dan bolos sebanyak 15 gol, sekaligus menutup harapan mereka untuk mara ke pusingan seterusnya.
Namun begitu, nasib Indonesia belum sepenuhnya selamat. Mereka perlu mencatat sekurang-kurangnya keputusan seri menentang Malaysia untuk layak ke separuh akhir.
Jika tewas, laluan ke separuh akhir akan bergantung kepada keputusan antara Filipina dan Brunei. Andai Filipina menang, maka tiga pasukan akan terikat enam mata dan rekod pertemuan akan menentukan siapa yang mara.