SUKAN

“Alhamdulillah, dapat menewaskan Indonesia di GBK ” — Mahali

Bunyi gegak gempita penyokong lawan, lontaran objek dari segenap sudut, dan suasana penuh tekanan di Stadium Gelora Bung Karno (GBK) – semua itu pernah menjadi medan ujian buat bekas pertahanan kebangsaan, Mahali Jasuli, pada dua kejohanan utama pada tahun 2010 dan 2011.

Kini, hampir 14 tahun berlalu, Mahali tampil dengan satu pesanan ringkas tetapi penuh makna kepada skuad bawah 23 tahun negara menjelang pertemuan getir menentang Indonesia dalam saingan terakhir Kumpulan A Piala AFF B-23 malam esok.

“Pekakkan telinga, dan fokus ke dalam perlawanan,” kata Mahali, yang kini berusia 36 tahun, mengimbau kembali kenangan hitam di GBK ketika skuad Harimau Malaya ‘diserang’ secara fizikal dan emosi, hingga memaksa pasukan menaiki kereta perisai barracuda untuk keluar dari stadium demi keselamatan.

Menurutnya, tekanan luar padang di venue tersebut bukan sekadar mitos atau cerita pinggiran, sebaliknya satu realiti yang pernah dilalui sendiri oleh beliau bersama pasukan kebangsaan dan skuad B-23 suatu ketika dahulu.

Katanya, walaupun perlawanan esok bukanlah perlawanan akhir, namun cabaran sebenar akan datang daripada suasana di luar kawalan yang mampu mengganggu fokus dan emosi pemain.

“Untuk skuad Malaysia B-23, saya sebagai bekas pemain yakin yang mereka masih lagi mempunyai kualiti yang baik untuk menandingi skuad Indonesia. Sebab ialah kita pun tahu, main dekat sana tak mudah.

“Tapi tidak ada yang mustahil di mana jika pemain dapat mengawal tempoh dan mengurangkan tekanan, saya percaya pemain-pemain yang diberi tanggungjawab boleh menghasilkan sesuatu yang positif untuk skuad negara,” ujar Mahali.

Mahali pernah menjadi tonggak utama kejayaan negara meraih Piala AFF pada tahun 2010, apabila Malaysia menewaskan Indonesia dengan agregat 4-2 pada perlawanan akhir. Kejayaan itu dianggap sebagai pencapaian bersejarah buat bola sepak negara.

Setahun kemudian, di lokasi yang sama iaitu di GBK, Mahali sekali lagi memainkan peranan penting dalam membantu pasukan B-23 kebangsaan menewaskan Indonesia dalam final Sukan SEA 2011 untuk menghadiahkan pingat emas buat kontinjen negara.

Kedua-dua perlawanan tersebut, menurut Mahali, meninggalkan kesan mendalam bukan sahaja dari segi pencapaian, tetapi juga dari aspek keselamatan dan pengalaman psikologi yang cukup mencabar buat setiap pemain.

“Untuk saya, tak perlu berasa takut sebab, sebagai saya sendiri pernah alami suasana yang lebih…lebih…lebih mencabar. Tapi Alhamdulillah dapat (menewaskan Indonesia di GBK), dan saya pun percaya mental pemain pun berada dalam keadaan yang bagus,” katanya ketika ditemui di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur.

Mahali turut menasihatkan agar setiap pemain muda negara menanam keyakinan dalam diri dan tidak membiarkan suasana luar padang mengawal rentak permainan mereka.

“Waktu itu saya ingat lagi, kenangan di mana kita tahu Indonesia pasukan yang bagus. Tapi dari segi saya dengan pemain, kita orang yakin dengan kebolehan pemain-pemain kita sendiri.

“Walaupun kita tahu, bukan mudah nak bermain di GBK, tapi pemain tahu tanggungjawab masing-masing. Memang final itu, semua bekerja keras dan satulah, mereka betul-betul main. Kita semua betul-betul main demi nama negara,” katanya lagi.

Pengalaman Mahali ini menjadi peringatan dan pedoman buat pemain muda yang bakal turun beraksi di tempat yang sama. Walaupun berbeza generasi, tekanan dan suasana di GBK tidak pernah berubah – malah mungkin lebih mencabar dengan kemunculan media sosial dan jangkaan tinggi peminat.

Perlawanan malam esok bakal menentukan nasib skuad B-23 negara dalam kejohanan edisi kali ini. Dengan harapan tinggi diletakkan ke atas mereka, kata-kata Mahali agar pemain ‘pekakkan telinga’ dan fokus pada misi negara diharap dapat dijadikan azimat untuk mengulangi sejarah manis yang pernah dilakar generasinya dahulu.